Anda di sini

Sembilan maut dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand

Advertisement
Pasukan polis bersenjata telah dikerah menjaga lokasi terbabit dan memburu penembak. - Gambar Times Now News
Pasukan polis bersenjata telah dikerah menjaga lokasi terbabit dan memburu penembak. - Gambar Times Now News
CHRISTCHURCH: Beberapa insiden tembakan rambang berlaku di Christchurch, New Zealand pada Jumaat tengah hari termasuk di dua buah masjid yang menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang maut di "enam lokasi berbeza," lapor agensi berita China Xinhua.

Dilaporkan sekurang-kurangnya dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di dua masjid di Christchurch. Saksi menyifatkan terdapat banyak darah dan beberapa kematian.

Media tempatan melaporkan bahawa sekurang-kurangnya enam orang telah ditembak mati. 

Difahamkan bahawa insiden tembakan itu berlaku di sekurang-kurangnya enam lokasi berbeza.

Menurut laporan, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dalam Masjid Al Noor yang penuh dengan jemaah di pusat bandar Christchurch semasa waktu solat Jumaat. 

Pasukan kriket Bangladesh hampir memasuki masjid itu ketika insiden tembakan berlaku, jadi mereka berjaya menyelamatkan diri.

Media tempatan turut melaporkan satu lagi insiden tembakan berlaku di sebuah masjid di pinggir bandar Christchurch.

Pasukan polis bersenjata telah dikerah menjaga lokasi terbabit dan memburu penembak. 

Mereka menggesa penduduk setempat agar berada di dalam rumah. Sekolah tempatan turut ditutup.

"Polis bertindak balas dengan segala keupayaannya bagi menangani situasi ini, namu risiko persekitaran kekal tinggi," menurut polis dalam satu kenyataan.

Polis berkata mereka telah menahan seorang suspek dan masih memburu yang lain.

Perdana Menteri Jacinda Ardern bercakap kepada orang ramai pada pukul 4 petang waktu tempatan. 

Beliau berkata "ini adalah antara momen paling gelap dalam sejarah New Zealand. Ingatan dan doa saya bersama Christchurch."

"Ia adalah satu keganasan yang tidak pernah berlaku di New Zealand. Tiada tempat untuk keganasan melampau seperti itu di New Zealand," kata Ardern.

Konsul Jeneral China di Christchurch Wang Zhijian memaklumkan Xinhua bahawa respons kecemasan telah diaktifkan. 

Pejabat Konsulat Jeneral kini bekerjasama dengan polis tempatan untuk memeriksa sama ada terdapat rakyat China yang menjadi mangsa dalam insiden tembakan itu. - BERNAMA

Advertisement