Anda di sini

Sarawak perlu cari penyelesaian sendiri tambah pendapatan

 Abang Johari bersama isteri, Juma’ani (enam kanan), Miro (empat kanan) serta menteri kabinet dan wakil rakyat lain yang hadir melakukan simbolik upacara menggaul ‘Yee Sang’ sempena Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2019.
TRADISI: Abang Johari bersama isteri, Juma’ani (enam kanan), Miro (empat kanan) serta menteri kabinet dan wakil rakyat lain yang hadir melakukan simbolik upacara menggaul ‘Yee Sang’ sempena Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2019.

BAU: Sarawak tidak dapat bergantung dengan hanya menunggu keputusan mengenai bayaran royalti minyak dan gas iaitu daripada lima peratus kepada 20 peratus, yang kini masih tidak menunjukkan gambaran positif.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, isu royalti minyak dan gas kepada Sarawak itu bermula sejak bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) sehingga kini tetapi masih belum ada pencapaian.

“Royalti kita seperti ke sini tidak ada, ke sana pun tidak ada...tiada sebarang keputusan sejak dari pentadbiran di bawah Tok Nan sehingga beliau sudah tiada.

“Kita tidak ada pilihan melainkan penyertaan aktif dalam industri hiliran dan huluan minyak dan gas serta mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Pemimpin sempena Makan Malam Tahun Baharu Cina 2019 DUN Serembu di Dewan Masyarakat Siniawan di sini, malam kelmarin.

Tambah Abang Johari, Sarawak perlu mencari jalan penyelesaiannya sendiri untuk menambah pendapatan agar dapat membiayai pembangunan lebih pantas kepada negeri ini.

Malahan pada Julai tahun lepas, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah mengumumkan pembayaran royalti 20 peratus kepada negeri-negeri akan dikira berdasarkan keuntungan daripada hasil yang diperoleh di negeri berkenaan.

Bagaimanapun Abang Johari sebelum ini tetap dengan pendirian bahawa kerajaan negeri tidak bersetuju pembayaran royalti minyak dibayar kepada negeri ini berdasarkan 20 peratus daripada keuntungan bersih hasil petroleum negara.

Katanya, Sarawak menuntut agar pembayaran royalti perlu mengikut perjanjian yang dimeterai berasaskan pengeluaran minyak dan gas.

Sementara itu pada majlis berkenaan, Abang Johari mengulas lanjut bahawa kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mempertahankan hak dan autonomi negeri yang terhakis.

“Kita sekarang dalam pertengahan rundingan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis dan baru-baru ini kabinet persekutuan bersetuju untuk membuat pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi.

“Masih banyak lagi perkara yang perlu kita perjuangan tetapi hanya empat perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetap tidak terbuka untuk rundingan dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

Empat perkara terbabit ialah kuasa autonomi imigresen, hak untuk menguatkuasakan undang-undang negeri mengikut perlembagaan persekutuan, perlindungan sempadan negeri dan kedaulatan atas tanah dan hasil-hasilnya dalam sempadan negeri ini.

“Kita tidak akan berkompromi. Kerajaan negeri di bawah GPS memberi jaminan akan mempertahankan perkara ini dan ia adalah pendirian tegas kami,” tegas Abang Johari.