Anda di sini

Robert Kuok kekal nombor 1 senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019

SINGAPURA: Tan Sri Robert Kuok mengekalkan kedudukan nombor satu dalam senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019 dengan nilai bersih AS$12.8 bilion walaupun kekayaannya merosot sebanyak AS$ 2 bilion, menurut Forbes Asia.

Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019 yang dikeluarkan semalam menyebut 30 hartawan Malaysia menyaksikan kekayaan mereka merosot manakala 11 lagi menikmati peningkatan.

Sementara itu, Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong (Malaysia) menambah kekayaan sebanyak AS$ 2.2 bilion dan kekal pada kedudukan nombor dua dengan nilai bersih AS$9.4 bilion.

Tan Sri Teh Hong Piow Public Bank memperoleh AS$700 juta, meningkat satu anak tangga ke nombor tiga dengan nilai bersih AS$6.7 bilion.

Lima hartawan teratas dalam senarai itu ialah Tan Sri Ananda Krishnan di tempat keempat dengan AS$6.2 bilion, susut AS$900 juta apabila saham dalam penyedia perkhidmatan tenaga Bumi Armada susut 78 peratus tahun ini hingga 1 Mac.

Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Corporation dan IOI Properties menduduki tempat kelima, dengan nilai kekayaannya merosot sebanyak AS$200 juta kepada AS$5.4 bilion.

Wong Thean Soon menduduki tempat ke-48, setelah mengalami kerugian terbesar apabila nilai bersihnya menjunam 63 peratus kepada AS$280 juta.

Saham syarikatnya My E.G Services, yang menawarkan akses perkhidmatan kerajaan secara dalam talian, terjejas selepas pilihan raya tahun lepas ekoran persepsi bahawa ia dikait rapat dengan kerajaan terdahulu.

Seorang pelabur besar dalam syarikat itu, kedudukan Datuk Dr Norraesah Mohamad, satu-satunya wanita dalam senarai tahun lepas, turut merosot.

Jutawan lain yang menyaksikan kekayaan mereka merosot termasuklah Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary yang mengekalkan kedudukannya di tempat ke-12 walaupun kekayaan merosot  AS$200 juta kepada AS$1.7 bilion.

Saham syarikat berkaitan infrastrukturnya menyusut susulan kajian berterusan ke atas projek-projek infrastruktur mega Malaysia.

Seorang lagi hartawan yang mengalami kemerosotan ialah Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay, yang berada di nombor tujuh dengan kekayaan bernilai AS$4.4 bilion.

Beliau jatuh satu tempat daripada nombor enam tahun lepas apabila kekayaannya susut sebanyak AS$300 juta.

Pendatang baharu Abdul Kadier Sahib memasuki senarai itu buat kali pertama di tempat ke-49 dengan nilai bersih AS$275 juta.

Beliau ialah Pengarah Serba Dinamik Holdings, syarikat pembekal minyak dan gas yang dilancarkan pada 2017 dan menyaksikan sahamnya melambung.

Pengasas syarikat, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, yang berada di tempat 40, dengan nilai AS$345 juta, memulakan perniagaannya setahun lalu dan menyaksikan kenaikan bersihnya sebanyak 11 peratus tahun ini.

Menurut Forbes Asia, terdapat dua hartawan menyertai semula senarai tahun ini.

Tan Sri Kua Sian Kooi dari KSK Group menduduki tempat ke-35 dengan nilai bersih AS$420 juta manakala Datuk Loh Kian Chong dari Oriental Holdings kembali dalam senarai di tempat ke-45 dengan nilai bersih AS$320 juta.

Nilai bersih minimum untuk dimasukkan dalam senarai tahun ini ialah AS$250 juta, turun daripada AS$300 juta tahun lepas.

Senarai ini disusun menggunakan maklumat dari individu, bursa saham, penganalisis, pangkalan data peribadi, agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan sumber lain.

Jumlah nilai bersih adalah berdasarkan kepada harga saham dan kadar pertukaran pada penutupan pasaran pada 28 Feb.

Syarikat persendirian dinilai menggunakan nisbah kewangan dan perbandingan lain dengan syarikat-syarikat yang sama dengan dagangan awam.

Anggaran termasuk kekayaan pasangan, dan jika mereka merupakan pengasas syarikat, ia turut mengambil kira kekayaan anak hsil dari syarikat itu.

Dalam kes kekayaan anggota keluarga adalah berdasarkan kepada syarikat yang sama, ahli-ahli ini digabungkan menjadi satu penyenaraian, selagi masing-masing mempunyai kekayaan yang mencukupi untuk memenuhi syarat.

Senarai penuh boleh didapati dalam terbitan terkini Forbes Asia, yang sudah berada di pasaran. — Bernama