Anda di sini

Polis redah jalan balak untuk berkas suspek dera budak

Advertisement
 Suspek lelaki dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Limbang semalam.
DICEKUP JUGA: Suspek lelaki dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Limbang semalam.

LIMBANG: Polis terpaksa melalui jalan balak selama empat jam untuk menahan seorang lelaki yang juga suami kepada penjaga kanak-kanak disyaki didera di sebuah kem pembalakan di Long Balau, Baram petang kelmarin.

Suspek, 25, yang beralamat di Long Balau ditahan di kantin kem tersebut pada jam 3.55 petang, menurut Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai yang mengesahkan penahanan itu petang semalam.

“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas suspek hari ini (semalam) mendapati dia positif Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Jelasnya, anggota polis berjaya menjejaki suspek untuk membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki yang disyaki didera ketika berada dalam penjagaan mereka sejak Ogos tahun lepas.

Mangsa katanya, diserahkan kepada suspek dan isterinya, 20, selepas ibu mangsa dihantar ke Penjara Limbang kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.

Mohd Bukhori berkata, mangsa yang dirujuk ke Hospital Miri telah menjalani pembedahan membuang darah beku di otak pada jam 2 petang kelmarin dan kini berada di wad ICU untuk pemantauan lanjut.

Kes penderaan kanak-kanak malang itu terbongkar selepas penjaganya itu yang juga ibu saudaranya menghantar mangsa ke Hospital Limbang dalam keadaan tidak sedarkan diri pada Selasa, jam 8 malam.

Mohd Bukhori berkata, hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat banyak kesan lebam di seluruh badan.

“Penjaga mangsa memberitahu pihak hospital bahawa suaminya melihat kanak-kanak tersebut tergelincir di tepi sungai dan terhantuk di kepala,” katanya.

Hasil siasatan lanjut mendapati penjaganya mendakwa tidak mengetahui dan tidak melihat mangsa tergelincir di tepi sungai dan terhantuk di kepala kerana bekerja ketika kejadian.

“Penjaga turut mengaku pernah merotan mangsa menggunakan penyangkut baju sebelum ini sebagai pengajaran agar tidak nakal.

“Penjaganya memberitahu suaminya selalu memukul mangsa menggunakan tangan dan mengugut sebelum ini,” katanya lagi.

Suspek wanita direman di Mahkamah Majistret sehingga Ahad, manakala suspek lelaki direman hingga Isnin depan untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (dera).

Advertisement