Anda di sini

Pencapaian menggalakkan

Advertisement
 Sebahagian daripada pelajar cemerlang SPM 2018 merakamkan kenangan bersama Abang Mat Ali (barisan keempat, empat kanan) selepas pengumuman keputusan di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di Kuching semalam.
TAHNIAH: Sebahagian daripada pelajar cemerlang SPM 2018 merakamkan kenangan bersama Abang Mat Ali (barisan keempat, empat kanan) selepas pengumuman keputusan di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di Kuching semalam.

KUCHING: Pencapaian berprestasi cemerlang tinggi calon Sarawak dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 keseluruhannya adalah menggalakkan dengan lapan calon mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, daripada jumlah tersebut, dua calon mendapat 10A+ manakala enam lagi calon mendapat 9A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Dua calon yang mendapat 10A+ ialah Alvin Soo Qwan Zhou dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu dan Nur Izzah Athirah Abdul Samat dari SMK St Teresa, Kuching.

Manakala, enam calon yang mendapat 9A+ ialah Constance Wong Chia Yii (SMK Sungai Maong, Padawan), Muhamad Hazim Isa dan Nazmi Ahmad Nizar (Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, Padawan), Muhamad Maziz Azri Maznan (Sekolah Menengah Sains Miri) serta Allister Daniel Linggong dan Kevin Yok (SMK Merbau, Miri).

Bagaimanapun katanya, pencapaian calon Sarawak pada SPM 2018 menurun sebanyak 0.02 mengikut nilai Gred Purata Negeri (GPN) kepada 5.19 berbanding 5.17 pada 2017.  

“Dari segi prestasi pencapaian sekolah berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), sebanyak 19 sekolah berjaya mencapai GPS 4.00 dan ke bawah.

“Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, Padawan mencapai gred teratas dengan GPS 1.94 diikuti Sekolah Menengah Sains Miri dengan GPS 2.30 dan SMK Sacred Heart, Sibu dengan GPS 2.65,” ujarnya pada pengumuman keputusan di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di sini, semalam.

Abang Mat Ali berkata, keputusan SPM 2018 turut menunjukkan sebanyak 23 sekolah mempunyai sekurang-kurangnya 10 calon yang memperolehi minimum gred A- dalam semua mata pelajaran.

SMK Methodist, Sibu merekodkan calon paling ramai dengan gred A- dalam semua mata pelajaran iaitu 40 orang, diikuti SMK Sacred Heart, Sibu dan SMK St Elizabeth, Sibu masing-masing 25 orang.  

Katanya, dari segi perbandingan pencapaian sekolah bandar dan luar bandar pula, calon sekolah bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan yang semakin ketara bagi mata pelajaran Matematik dan Sejarah dan menurun bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 21 sekolah luar bandar melakar prestasi baik, antaranya SM Sains Kuching, SMK St Anthony, SMK Tinggi Sarikei, SMK Kwong Hua, SMK Kubong, SMK Jalan Oya, SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, SMK Kai Chung, SMK (A) Limbang, SMK Bawang Assan dan SMK Meradong.

Turut berprestasi baik ialah SMK Datuk Haji Abdul Rahman Yakub, SMK Luar Bandar Sibu, SM Teknik Sejingkat, SMK Limbang, SMK Sungai Tapang, SMK Julau No.2, SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, SMK Agama Igan, SMK Temenggong Datuk Lawai Jau dan SMK Kanowit.

Seramai 36,144 calon di Sarawak mendaftar untuk menduduki SPM 2018 melibatkan calon sekolah menengah kebangsaan, sekolah di bawah agensi selain Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah swasta dan persendirian.

Sehubungan itu, calon-calon yang ingin membetulkan maklumat peribadi dalam slip keputusan, menyemak semula atau mengemas kini keputusan mereka hendaklah melakukannya dalam tempoh 30 hari selepas tarikh pengumuman keputusan iaitu selewat-lewatnya 14 April 2019.

Bayaran semak semula keputusan bagi setiap mata pelajaran ialah RM100 dengan menggunakan wang pos atau kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia.

Borang semak semula atau pengemaskinian keputusan dan Borang Pembetulan Maklumat Calon LP/Am 38 Pin.1/2016 boleh didapati daripada pihak sekolah masing-masing, Unit Penilaian dan Peperiksaan, Pejabat Pendidikan Daerah seluruh Sarawak atau Sektor Penilaian dan Peperiksaan di Ibu Pejabat, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jalan Diplomatik Off Jalan Bako di sini.

  • oleh
  • Advertisement