Anda di sini

Pelajar terbaik Sarawak mahu jadi jurutera

Advertisement
ALVIN
ALVIN

BINTULU: “Saya merancang untuk mendapatkan program pendidikan di Kolej Sunway seterusnya dengan harapan dapat meneruskan pengajian di Singapura untuk mencapai cita-cita saya menjadi jurutera elektrik dan elektronik,” kata pelajar terbaik Sarawak dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu Alvin Soo Qwan Zhou yang meraih 10A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan semalam.

Kejayaan yang dicapainya itu tidak mudah justeru dia berkongsi mengenai usaha yang dilakukannya semasa belajar dalam keadaan masa yang lebih fleksibel.

“Pengurusan masa yang baik sangat penting bagi pelajar supaya mereka dapat belajar dengan baik di dalam dan luar bilik darjah,” katanya sambil menambah, pada dasarnya untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang baik, satu-satunya cara berkesan adalah menetapkan peruntukan waktu yang sesuai.

Katanya, perlu memperuntukkan masa belajar dan bermain dengan sewajarnya yang mana paling penting adalah mendapatkan tidur yang cukup untuk memulihkan semula kecergasan untuk menghadapi hari esoknya.

“Mencapai semua A+ adalah sasaran saya dalam SPM dan saya benar-benar teruja dan gembira apabila akhirnya mendapat keputusan itu yang turut membanggakan ibu bapa saya sekali gus berharap akan dapat bantuan biasiswa untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung ibu bapa saya untuk tempoh pengajian seterusnya,” ujarnya.

Irene Ling Xin Hui yang meraih (9A+,1A) turut gembira dan berpuas hati dengan hasil usaha dan kerja kerasnya untuk meneruskan impian menjadi peguam pada suatu hari kelak.

“Apa yang penting bagi saya ialah belajar dari awal, jangan ragu semasa ujian dan pastikan jika mempunyai masa lapang membuat semakan dan saya bernasib baik untuk mempunyai ibu bapa yang sangat menyokong serta selalu berada di pihak saya sepanjang masa, “tambahnya.

Manakala Donelladanny Wong Menis yang memperoleh 3A+, 5A, 1A- menyifatkan hasil yang diperolehinya melebihi jangkaan.

“Saya gembira mendapat 9A, saya tidak menjangkakan hasilnya akan baik, saya fikir ia adalah rahmat daripada Tuhan kerana kerja keras saya, buat masa ini saya masih tidak tahu arah (pendidikan)saya seterusnya tetapi saya perlu membuat keputusan,”katanya.

Begitupun kembarnya, Donellydann Wong Menis yang menyasarkan mendapat semua A tetapi meraih 2A+, 4A, 2B+, 1C+ sedikit kecewa kerana apa yang diharapkannya tidak seperti yang diperolehi.

“Tetapi saya tetap berasa gembira dan berkongsi kebahagiaan dengan saudara kembar saya yang mendapat keputusan yang sangat baik dan apa yang penting kami berdua dapat membanggakan ibu bapa kami,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement