Anda di sini

Mirabel terus pamerkan peningkatan pada pertandingan golf antarabangsa

Advertisement
 Mirabel (dua kiri) bersama rakan sepasukan dan kapten, Ireen Tang (dua kanan) selepas kejohanan berakhir.
KIAN MENINGKAT: Mirabel (dua kiri) bersama rakan sepasukan dan kapten, Ireen Tang (dua kanan) selepas kejohanan berakhir.

KUCHING: Bintang golf remaja Sarawak yang semakin mencipta nama, Mirabel Ting Ern Hui terus menunjukkan peningkatan di arena antarabangsa.

Pada Jumaat lepas, atlet kelahiran Miri berusia 13 tahun itu menduduki tempat keenam bersama dua peserta lain semasa menyertai Piala Queen Sirikit Ke-41 yang diadakan di Kelab Golf Glenelg di Adelaide, Australia.

Beliau mencatat tiga atas par 75 pada hari pertama (Rabu) dan memperbaiki prestasi pada hari kedua dengan satu atas par 73 sebelum menutup saingan dengan satu di bawah par 71 untuk mengumpul keseluruhan 219 pukulan.

Pencapaian itu menjadikan Mirabel pemain termuda dalam pertandingan itu berkongsi tempat keenam dengan Doey Choi dari Afrika Selatan dan Anika Varma dari India.

Rakan sepasukan Mirabel, Liyana Durisic menamatkan saingan dengan berkongsi kedudukan ke-23 manakala Winnie Ng Yu Xuan di kedudukan ke-29.

Secara keseluruhan, Malaysia berkongsi tempat kelapan dengan Taiwan selepas kedua-dua pasukan mencatat pukulan sama berjumlah 444.

Pasukan pilihan, Korea Selatan muncul johan buat kali ke-20 selepas meraih 421 pukulan di hadapan tuan rumah Australia (437), China (440), Thailand (441), New Zealand (443), Jepun (444) dan India (444).

Kejohanan dianjur secara bergilir antara 14 negara jemputan dengan objektif mempromosi standard pemain golf wanita di rantau Asia selain mengukuhkan muhibah dan setiakawan antara semua peserta yang mengambil bahagian.

Advertisement