Anda di sini

Memupuk teknik berfikir menerusi Bengkel Berminda Hebat

 Para peserta bersama penceramah dan guru merakamkan gambar kenangan semasa program Bengkel Berminda Hebat 2019 di SK RPR Jalan Astana, baru-baru ini
HEBAT: Para peserta bersama penceramah dan guru merakamkan gambar kenangan semasa program Bengkel Berminda Hebat 2019 di SK RPR Jalan Astana, baru-baru ini

BENGKEL Berminda Hebat 2019 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK)  RPR Jalan Astana di Kuching baru-baru ini, berjaya menarik penyertaan 147 pelajar tahun enam.

Menurut Guru Besar Ayup Bujang, bengkel yang diadakan buat julung kali ini diharapkan dapat memberi implikasi ke atas prestasi dan tingkah laku para peserta.

Katanya, ini kerana pihak sekolah telah menjadikan bengkel terbabit sebagai wardah untuk pelajar menguasai teknik berfikir menerusi minda kelas pertama.

‘Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan berfikir sekali gus dapat  meningkatkan kecemerlangan mereka yang bakal menduduki UPSR bagi tahun ini,” katanya

Ayup berkata, pada program ini pelajar turut diberi pencerahan terhadap makna dan fungsi minda dalam kehidupan.

“Pada masa sama mereka akan memahami proses yang berlaku dalam minda sekali gus berupaya mengenal pasti ciri-ciri minda kelas pertama.

“Tambahan pula, keupayaan berfikir dengan minda kelas pertama akan membantu para pelajar untuk memiliki minda hebat yang dipercayai mampu mencapai kecemerlangan.

“Apa yang lebih menarik lagi ialah mereka yang berminda hebat berupaya untuk menjalani kehidupan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, penceramah dari Persatuan Prihatin Pembangunan Insan, Kuching, Maliah Adenan menjelaskan pihaknya telah dijemput beberapa buah sekolah di sekitar Kuching untuk berkongsi rahsia berjaya di sebalik minda hebat.

Bukan itu sahaja, katanya menerusi bengkel Berminda Hebat itu ia dapat membantu para pelajar untuk menilai setiap cabaran pembelajaran.

“Perkara ini sekali gus membantu mereka untuk menganalisis strategi terbaik bagi berdepan dengan pelbagai cabaran dalam pembelajaran. Justeru, para pelajar akan lebih rasional dalam menentukan pilihan dan keputusan terbaik,” katanya.

Ujar Maliah lagi, para pelajar juga akan memperoleh tips bagi memiliki minda hebat dan teknik untuk menggunakannya secara konsisten dan efektif.

Menurutnya, bengkel itu bukan sekadar untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar tetapi menjadikan kehidupan lebih berkualiti yang bebas daripada tekanan.