Anda di sini

KPDNHEP Sibu rampas barangan tiruan RM2.6 juta

Advertisement

SIBU: Sejumlah 4,035 unit galas bebola tiruan pelbagai saiz yang dianggarkan bernilai RM2.6 juta telah dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), petang kelmarin.

Ketua KPDNHEP Cawangan Sibu Roslee Maslie berkata, rampasan galas bebola itu dilakukan di dua lokasi di Jalan Delta dan Jalan Ding Lik Kong, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

 Rampasan itu katanya, hasil risikan dan maklumat yang diberikan pemilik cap dagang asal produk terbabit iaitu SKF.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b), Akta Perihal Dagangan 2011 dan pihak yang terbabit akan didakwa di mahkamah,” ujarnya pada satu sidang media, semalam.

Sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak lebih RM15,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM30,000 bagi kesalahan kedua, untuk satu produk tiruan.

Bagi perbadanan atau syarikat pula, denda tidak lebih RM10,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM30,000 bagi kesalahan kedua.

Menurut Roslee, ini merupakan kes kedua tahun ini di mana kes pertama membabitkan rampasan bernilai RM21,000.

“Tahun ini, kita telah mengenal pasti beberapa kawasan panas bagi barangan tiruan di sekitar Sibu, di mana kita akan bertindak hasil risikan yang dijalankan,” jelasnya.

Beliau juga berterima kasih kepada pemilik cap dagangan yang telah memberikan kerjasama baik dengan menyalurkan maklumat yang berkaitan.

Pada tahun 2018, KPDNHEP telah bertindak ke atas lima kes membabitkan barangan tiruan dengan nilai rampasan sebanyak RM49,000.

Roslee memberitahu, untuk tahun lepas bagi kes membabitkan barangan tiruan, pihak terbabit telah dikenakan denda RM40,000 oleh mahkamah.

“Kes-kes ini sama ada didakwa di mahkamah atau dikenakan kompaun.

“Tahun lepas, kompaun bagi barangan tiruan ialah RM6,000,” jelasnya lanjut.

Hadir sama pada sidang media ialah Timbalan Ketua KPDNHEP Sibu Ganda Jirap, ketua operasi Bahamil Aizul Baharuddin dan pegawai operasi Linda Jimek.

  • oleh
  • Advertisement