Anda di sini

Korea Selatan berminat manfaatkan kepakaran halal Malaysia

Advertisement
 Moon menyampaikan ucapan sekali gus merasmikan Forum Perniagaan Malaysia-Korea pada hari ketiga sesi lawatan negara ke Malaysia di sebuah hotel, Kuala Lumpur, semalam — Gambar Bernama
FORUM PERNIAGAAN: Moon menyampaikan ucapan sekali gus merasmikan Forum Perniagaan Malaysia-Korea pada hari ketiga sesi lawatan negara ke Malaysia di sebuah hotel, Kuala Lumpur, semalam — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Korea Selatan berminat untuk memanfaatkan kejayaan Malaysia berkaitan industri halal dengan memperkukuh kerjasama dalam sektor berkenaan, khususnya melibatkan pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf peringkat global.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata Gelombang Korea, yang dikenali sebagai ‘Hallyu’, terbuka kepada perniagaan tempatan, dan berdasarkan kepakaran halal Malaysia, kedua-dua negara boleh menempa perkongsian strategik yang kukuh.

“Pensijilan halal Malaysia diiktiraf di peringkat global, malah menerusi perkongsian ini, ia boleh mencapai pasaran yang mempunyai permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal yang lebih luas,” katanya dalam ucapan semasa Forum Perniagaan Malaysia-Korea di sini, semalam.

Beliau tiba pada Selasa untuk mengadakan lawatan negara tiga hari di Malaysia.

Moon berkata kerjasama antara Malaysia dan Korea Selatan mempunyai matlamat strategik iaitu mempertingkat pertukaran pelaburan dan perdagangan dua hala halal, serta akses pasaran bagi produk dan perkhidmatan halal.

“Manfaat ekonomi yang tidak terhad boleh diraih kedua-dua negara terutama bagi segmen pasaran halal, pelaburan langsung asing serta teknologi,” katanya.

Mengenai kerjasama dalam sektor teknologi maklumat, Moon berkata Korea Selatan akan membangunkan pusat realiti maya di projek bandar pintar yang sedang dijalankan di Kota Kinabalu, Sabah.

Pusat itu dijangka melonjakkan penerimagunaan teknologi oleh Korea Selatan dan Malaysia, katanya.

Moon juga berkata hubungan ekonomi yang kukuh terjalin antara kedua-dua negara akan terus dipertingkat melalui Dasar Pandang ke Timur oleh Malaysia serta Dasar Selatan Baharu yang diamalkan kerajaan Korea Selatan.

“Ia akan mewujudkan satu horizon baharu dalam kemajuan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata setakat September 2018, sejumlah 371 projek pembuatan melibatkan penyertaan Korea Selatan bernilai AS$7.79 bilion (RM31.84 bilion) telah dilaksanakan.

“Semua projek ini menyediakan lebih 52,000 peluang pekerjaaan bagi negara ini. Banyak yang telah dicapai bersama, begitu juga banyak lagi yang boleh Malaysia dan Korea Selatan lakukan bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan bumi yang penuh dengan peluang, bukan hanya untuk pelabur malah kepada mana-mana pihak yang mempunyai semangat keusahawanan.

“Saya berharap melalui forum kita hari ini, semua yang hadir akan bermotivasi untuk memanfaatkan lagi kelebihan berbanding dan kompetitif Malaysia bertujuan memenuhi pasaran ASEAN dan global,” katanya. — Bernama

Advertisement