Anda di sini

Jalan Bau Lama dinaik taraf di bawah RMK12

Advertisement
 Abang Johari serta isteri, Juma’ani (belakang, kanan) disambut oleh orang ramai di Siniawan, malam kelmarin. Turut mengiringi Miro (belakang, kiri). — Gambar Chimon Upon
DISAMBUT: Abang Johari serta isteri, Juma’ani (belakang, kanan) disambut oleh orang ramai di Siniawan, malam kelmarin. Turut mengiringi Miro (belakang, kiri). — Gambar Chimon Upon

BAU: Jalan Bau Lama akan dinaik taraf yang dijangka dilaksana di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan anggaran kos RM100 juta.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan kajian bagi melebarkan jalan terbabit, yang dianggarkan sepanjang 20 kilometer (km).

“Memandangkan cadangan menaik taraf Jalan Bau Lama ini tidak termasuk dalam RMK yang kini, kita akan memulakannya pada RMK12 yang bermula pada 2021.

“Di bawah pelan ini nanti ia akan dikendalikan JKR dari segi spesifikasi dan sebagainya dan saya akan memasukkan cadangan menaik taraf ini di bawah RMK12,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Pemimpin sempena Makan Malam Tahun Baharu Cina 2019 kawasan DUN Serembu yang dihadiri isterinya, Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh di Dewan Masyarakat Siniawan di sini, malam kelmarin.

Abang Johari berkata, pelebaran jalan berkenaan sudah pasti akan menjadi sebahagian daripada infrastruktur yang disediakan kepada masyarakat setempat selain jalan perhubungan lebih baik.

Beliau menjelaskan ia akan menggalakkan lagi rangsangan ekonomi setempat selain penduduk dapat memanfaatkan tanah mereka untuk dijadikan sumber pertanian termasuk pengeluaran makanan menggunakan teknologi.

Sementara itu pada majlis yang sama beliau turut mengumumkan Siniawan bakal mempunyai tebingan sungai bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di pekan itu.

Katanya dengan kedudukan Siniawan berdekatan tebingan Sungai Sarawak, ia boleh menjadi perhentian destinasi pelancongan menyusuri Sungai Sarawak.

“Maka itu saya telah memikirkan selain jalan darat, Siniawan boleh dikunjungi dari Tebingan Kuching dengan menyusuri sungai hingga ke pekan ini.

“Sudah pasti untuk itu Siniawan memerlukan tebingan sungai dan dengan ini saya meluluskan Tebingan Sungai Siniawan,” katanya sambil menambah kata, beliau akan memperuntukkan dana bagi pembinaan tebingan berkenaan.

Beliau berkata, Siniawan terkenal dengan keunikan pekan berlatar belakangkan bangunan lama rumah kedai dan keakraban penduduk berbilang agama dam bangsa.

Sehubungan itu beliau berkata para pelancong yang datang ke Siniawan bukan sahaja berpengalaman melalui bot menyusuri sungai tetapi suasana di pekan itu sendiri.

“Siniawan mempunyai tarikan tersendiri di mana pelancong yang datang boleh menikmati suasana seperti gaya barat yang ditampilkan di pekan ini.

“Pelancong pada masa yang sama menikmati pemandangan sepanjang sungai kita untuk ke Siniawan,” katanya.

Advertisement