Anda di sini

Ikat jamin aktres AS didakwa terlibat skandal rasuah ditetapkan AS$1 juta

Advertisement
LOUGHLIN
LOUGHLIN

LOS ANGELES: Aktres Amerika Syarikat (AS) Lori Loughlin hadir di mahkamah persekutuan di pusat Los Angeles pada Rabu berhubung satu komplot kemasukan kolej besar-besaran yang melibat-kan selebriti lain dan ketua pegawai eksekutif (CEO) industri terkemuka.

Ikat jamin bagi bintang ‘Full House’ itu ditetapkan sebanyak AS$1 juta (RM4 juta), jumlah yang sama untuk suaminya yang juga pereka, Mossimo Giannulli, yang juga sudah didakwa dalam kes tersebut.

Pasangan itu, yang diarah hadir di mahkamah persekutuan di Boston pada 29 Mac, didakwa membayar rasuah sebanyak AS$500,000 (RM2 juta) untuk memastikan dua anak perempuan mereka direkrut untuk menyertai pasukan mendayung Universiti California Selatan walaupun kedua-duanya tidak mengambil bahagian dalam kru.

Loughlin, 54, menyerah diri kepada ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada awal Rabu selepas beliau kembali dari Vancouver, di mana beliau membuat penggambaran.

Hakim Steve Kim memberitahu bintang itu ketika menetapkan ikat jaminnya bahawa beliau masih dibenarkan untuk bergerak dan bekerja selagi mahkamah dimaklumkan tentang rancangannya.

Pasangan berkenaan adalah antara 50 orang yang didakwa pada Selasa dalam komplot untuk membantu anak-anak golongan elit di Amerika mendapatkan kemasukan ke dalam kolej terkemuka AS.  

Bintang ‘Desperate Housewives’ Felicity Huffman, yang turut dibabitkan dalam skandal itu, ditangkap oleh ejen FBI di rumahnya pada Selasa dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Aktres berusia 56 tahun itu dan suaminya, William H Macy, bintang siri popular di saluran Showtime ‘Shameless’, didakwa membayar AS$15,000 (RM60,000) untuk memastikan anak perempuan mereka yang sulung memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan kemasukan kolej.

Macy disebut dalam kes itu tetapi belum didakwa.

Dalang di sebalik komplot itu, William ‘Rick’ Singer, yang menurut pihak berkuasa dibayar kira-kira AS$25 juta (RM100 juta) untuk menyogok jurulatih dan pentadbir universiti, sudah mengaku bersalah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Beberapa universiti yang disasari dalam komplot pe-nipuan yang teliti itu termasuk Yale, Stanford, UCLA dan Georgetown. Tiada universiti atau pelajar yang telah didakwa dalam kes itu.

Menurut pendakwa, ibu bapa yang dituduh membayar sebuah firma yang diurus oleh Singer sebanyak AS$6 juta (RM24 juta) untuk menipu dalam peperiksaan kemasukan kolej bagi anak-anak mereka atau menyogok jurulatih untuk membantu pelajar bukan atlet mendapatkan biasiswa.

Orang lain yang dilibatkan dalam skandal itu termasuk Gordon Caplan, pengerusi bersama firma guaman di New York, Willkie Farr & Gallagher, yang didakwa membayar AS$75,000 (RM300,000) untuk menetapkan gred ujian anak perempuannya.

Turut didakwa adalah William McGlashan, seorang eksekutif di kumpulan pelaburan TPG Capital yang mengkhusus dalam pelaburan teknologi.

Beliau didakwa membayar ratusan ribu dolar untuk memastikan anak lelakinya memasuki Universiti California Selatan sebagai seorang atlet pelajar.

Skandal itu telah menerangi media sosial, dan ramai yang membuat usikan dan menyuarakan kemarahan terhadap ibu bapa kaya yang didakwa – khususnya Loughlin dan Huffman – selain anak-anak mereka. — AFP

Advertisement