Anda di sini

Azizulhasni mahu tambah berat jisim otot, persediaan ke Olimpik

Advertisement
AZIZULHASNI
AZIZULHASNI

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang tidak gusar dengan prestasi semasa yang kurang memberangsangkan, kerana mahu fokus menambah berat jisim otot sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mohd Azizulhasni menjelaskan kebanyakan pakar sains sukan berkata beliau antara pelumba yang memiliki tahap kelajuan terbaik dunia, namun terdapat kelemahan daripada aspek fizikal dan memerlukan jisim otot yang tinggi untuk menjadi lebih kuat.

“Kerja keras bukan sahaja tertumpu di gimnasium dan trek semata-mata, tetapi bagi mendapatkan prestasi tinggi, jisim otot juga memainkan peranan penting.

“Salah satu sebab prestasi tidak bagus dalam beberapa kejohanan sebelum ini kerana saya kekurangan kuasa henjutan, memandang berat badan hanya 70kg berbanding pelumba Eropah lain, mereka paling minimum dalam lingkungan 90kg dan ke atas. Lebih tinggi jisim otot kita, lebih banyak kekuatan yang boleh di keluarkan ketika di atas basikal,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Mohd Azizulhasni, yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’, berkata bagi mencerahkan peluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo dalam acara berpasukan, trio negara yang kini berada di ranking ke-14 dunia perlu mencapai keputusan sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik pada siri kejohanan dunia yang disertai tahun ini.

Berdasarkan prestasi semasa, gandingan bekas juara keirin dunia itu serta dua lagi pelumba iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis awal tahun tidak memberangsangkan dan perlu diperbaiki dalam kejohanan penting tahun ini terutamanya perlumbaan Siri Kejohanan Dunia dan Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC)  pada penghujung tahun ini.

“Fokus utama saya adalah dalam acara individu. Saya harap dapat kekalkan ranking (keirin individu) pada tahun depan. ​​​​​​​Keutamaan saya adalah keirin. Acara berpasukan ini lebih​ ​​​​​​kepada memberi peluang kepada pelumba muda seperti Shah Firdaus dan Fadhil,” katanya.

Setakat ini Mohd Azizulhasni berada di ranking kedua terbaik dunia dalam acara keirin dan kedudukan ke-22 bagi acara pecut.

Dalam acara individu dan berpasukan, pelumba perlu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia untuk layak beraksi di Sukan Olimpik. — Bernama

Advertisement