Anda di sini

Ragut: Warga asing dipenjara lapan tahun, sebat

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dikenakan penjara lapan tahun dan satu sebat, oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan meragut sebuah telefon pintar milik seorang wanita tempatan.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Al- Nasir Al-Hamid, 33, selepas mengaku salah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan penjara selama tempoh 14 tahun dan denda, serta boleh dikenakan sebatan.

Tertuduh meragut telefon pintar milik mangsa berusia 31 tahun, pada 19 Februari jam 6.30 petang di kedai Straight Textile, Jalan Segama di sini.

Berdasarkan fakta kes, pengadu membuat laporan polis pada hari sama kira-kira jam 9 malam, mengenai kejadian yang menimpanya ketika pulang dari tempat kerja di sebuah hotel.

Hasil siasatan, semasa beliau berjalan di koridor kedai Segama selepas membeli barang, tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali (tertuduh) meragut telefon yang dipegangnya dari arah belakang.

Pengadu mengejar tertuduh sehingga ke Wisma Merdeka sambil menjerit meminta pertolongan, namun seorang pengawal keselamatan berjaya menangkap tertuduh.

Pada 1 Mac, sesi kawad cam dijalankan dan pengadu dapat mengecam tertuduh.

Sekarang ini tertuduh menjalani hukuman penjara selama tempoh empat bulan, atas kesalahan memasuki negara ini secara haram.

Dalam pada itu, Al-Nasir juga diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah tamat tempoh pemenjaraan untuk tindakan lanjut.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan dan segera dihantar pulang ke negara asal, kerana isterinya sudah balik ke negara Filipina.

Timbalan Pendakwaraya Lim Sze Chuen menegaskan hukuman berat perlu dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Azreena memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh sabitan.

  • oleh
  • Advertisement