
KOTA KINABALU: Peratusan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2018 bagi sekolah luar bandar berjaya mengatasi pencapaian sekolah bandar di negeri ini dengan jurang perbezaan sebanyak 0.99 peratus.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Mistirine Radin berkata, perbezaan itu dilihat melalui perbandingan kadar lulus antara dua kawasan itu yang melibatkan 214 sekolah.
"Sebanyak 61 sekolah terletak di kawasan bandar dengan pencapaian lulus sebanyak 87.19 peratus, manakala 153 sekolah terletak di luar bandar mencapai kadar lulus sebanyak 88.18 peratus.
"Ini menunjukkan buat pertama kali peratus lulus sekolah luar bandar mengatasi pencapaian sekolah bandar iaitu 0.99 peratus," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM tahun 2018 di Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk, di sini.
Mistirine berkata, lantikan dan penempatan guru interim dalam pelbagai opsyen bagi memenuhi keperluan guru di kawasan luar bandar juga menjadi salah satu faktor lonjakan kecemerlangan peperiksaan berkenaan.
Katanya, ia membuktikan tiada lagi alasan perbezaan atau jurang pencapaian sekolah luar bandar dan bandar memandangkan kebanyakan sekolah sudah memenuhi kecukupan serta kemahiran guru mengikut opsyen tersendiri.
Dalam pada itu, katanya, penglibatan menyeluruh antara pihak sekolah bersama guru dan Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) turut menyumbang ke arah peningkatan berkenaan.
"Misalnya, kita melaksanakan Dialog Prestasi Berfokus kepada guru-guru sekolah dengan menekankan subjek yang mengalami penurunan yang perlu kita pertingkatkan di samping subjek lain.
"Usaha ini adalah antara faktor yang menampakkan hasil ketara dalam tahun-tahun sebelumnya dan sekarang pun kita masih menekankan dialog prestasi ini," katanya.
Dalam ucapannya, Mistirine berkata pencapaian SPM di negeri ini menunjukkan peningkatan dari segi kualiti yang diukur melalui Gred Purata Negeri (GPN) iaitu sebanyak 5.44 tahun lepas, berbanding tahun 2017 iaitu 5.51 dengan peningkatan 0.07.
"Sementara, dari segi peratus lulus juga menunjukkan peningkatan iaitu 88.53 peratus berbanding 86.20 peratus pada tahun 2017 iaitu meningkat sebanyak 2.33 peratus.
"Bilangan calon yang lulus semua mata pelajaran sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran yang diambil ialah seramai 17,420 (51.68 peratus) pada 2018 berbanding seramai 17,217 (50.88 peratus) pada 2017.
"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.80 peratus manakala, seramai 152 calon berjaya memperoleh Gred A (A+, A, dan A-) pada tahun 2018," katanya.
Tambahnya, analisis pencapaian mata pelajaran pula menunjukkan calon di Sabah berjaya memperoleh 22 mata pelajaran yang mencapai kelulusan sebanyak 100 peratus daripada 53 mata pelajaran yang diambil.
Peperiksaan SPM 2018 yang berlangsung bermula 13 November hingga 13 Disember 2018 melibatkan seramai 34,322 calon di 314 pusat peperiksan di negeri ini.
Jumlah calon tahun lepas menunjukkan peningkatan seramai 484 orang berbanding tahun 2017 iaitu seramai 33,838 calon.