
KOTA KINABALU: Walaupun kedua individu ini kelihatan agak pemalu, namun kelemahan itu bukanlah penghalang untuk mengecapi kejayaan dalam hidup masing-masing.
'Diam-diam ubi berisi', itulah perumpamaan yang boleh digambarkan kepada Mohd Danish Iskandar Amran dan Carolina Lee Pei Qian yang kini berusia 18 tahun.
Kedua-dua anak muda ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang bagi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas dan diraikan semasa Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2018.
Danish mendapat keputusan 11A (9A+, 2A), manakala Carolina memperoleh 10A+ sehingga tergolong daripada 17 pelajar yang cemerlang SPM 2018 bagi peringkat negeri Sabah.
Dia yang berasal dari Kampung Lotong Kota Marudu mengakui bahawa sifat pemalu memang tidak asing dalam dirinya.
Bagaimanapun, dia terus berusaha untuk berubah dengan memberanikan diri bergiat aktif dalam persatuan atau bersua dengan guru di sekolah sekiranya ada kemusykilan dalam pembelajaran.
"Sejak sekolah rendah lagi, saya agak pemalu sikit dan perlahan-lahan selepas saya berpindah ke sekolah menengah di bandar, saya tekad ingin berubah.
"Jadi, saya berusaha bersemuka dengan guru-guru di sekolah serta aktif mengikuti Persatuan Badan Dakwah Rohani (Badar) yang sememangnya diajar bersemuka dengan orang, dan akhirnya saya mula berani," katanya yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu.
Berkongsi resepi kejayaan, anak kedua dari empat adik beradik itu berkata, fokus dalam kelas adalah perkara wajib yang sentiasa diamalkan selama bergelar pelajar.
Pada masa sama, katanya, mengulang kaji pelajaran mengikut masa yang ditetapkan dalam jadual belajar juga penting bagi menguatkan lagi ingatan apa yang diajar oleh guru.
"Balik dari sekolah, saya terus mengulang kaji dan saya akan mengambil masa 2 hingga 3 jam selain tidak lupa menunaikan ibadat solat tepat pada waktunya dan membaca al-Quran.
"Saya juga tidak melupakan untuk menunaikan solat hajat pada setiap malam," katanya yang bercita-cita ingin menjadi jurutera komputer suatu hari nanti.
Ditanya perancangan seterusnya, Danish berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Perisian Komputer di mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Sementara itu, Carolina yang mendapat keputusan A penuh bagi kesemua subjek yang diambilnya menyifatkan, tuisyen bukanlah cara belajar yang wajib, tetapi hanya perlu membuat lebih banyak latih tubi bagi semua subjek.
Selain itu, anak tunggal dari Tawau ini hanya menggunakan kaedah belajar tersendiri iaitu menggunakan media sosial Youtube sekiranya tidak memahami subjek tertentu.
"Semasa membuat latih tubi, soalan yang saya tidak tahu akan saya kaji sendiri menggunakan media sosial Youtube untuk mendapatkan jawapan.
"Memang tuisyen cara terbaik, tetapi saya lebih suka ikut cara saya sendiri dengan memperbanyakkan menjawab latihan soalan tahun lepas selama dua hingga tiga jam sehari di rumah," katanya.
Mengenai cabaran sepanjang bergelar pelajar sekolah, dia merasakan kegagalan mencapai sasaran dalam subjek ketika peperiksaan adalah satu perkara yang menyedihkan.
Namun, gadis berkaca mata ini yang bercita-cita ingin menjadi ahli farmasi tidak berputus asa tetapi terus mencuba memperbaiki kesilapan berulang kali.
"Kadang-kadang untuk menghilangkan tekanan, saya akan bermain piano seorang diri dan menyendiri sekejap sebelum memulakan pembelajaran sekali lagi," katanya.
Carolina berhasrat menyambung pembelajaran di peringkat A Level sebelum mencuba nasib meneruskan pengajian di luar negara.