Anda di sini

Mahkamah arah Alister jalani pemerhatian mental selama sebulan

Advertisement
 Alister diiringi pegawai penjara di Kompleks Mahkamah Negeri Sarawak semalam.
KE HOSPITAL SENTOSA: Alister diiringi pegawai penjara di Kompleks Mahkamah Negeri Sarawak semalam.

KUCHING: Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan Alister Cogia, 22, diletakkan di bawah pemerhatian mental selama sebulan di Hospital Sentosa di sini.

Hakim Mahkamah Tinggi Azahari Kamal Ramli turut menetapkan 16 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Alister dari Bau, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM50,000 atas kesalahan menghina Islam dan Nabi Muhammad di dalam akaun Facebook miliknya.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas pasukan peguam Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan permohonan semakan semula pengurusan kes itu yang pada mulanya dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini.

Perbalahan kes itu juga wujud kerana tertuduh tidak diwakili peguam ketika perbicaraan awal berlangsung di Mahkamah Sesyen.

Alister diwakili peguam See Chee How, Francis Teron,  Desmond Kho, Jeffery Mok dan Chai Pei Chen.

Manakala, pendakwaan diketuai Ketua Pendakwa Raya Sarawak Isa Hassim bersama Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Musli Abdul Hamid dan DPP Hayda Faridzal Abu Hasan.

Wakil Persatuan Peguam Bela Sarawak Orlando Chua hadir sama sebagai ‘amicus curea’ (rakan mahkamah bagi membantu mengurus kes).

Ibu Alister, Alen Rijod ditemani beberapa ahli keluarga terdekat juga hadir di mahkamah.

Sementara itu, See yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang ketika ditemui selepas sesi pendengaran kes berkata, pihak pendakwaan bersetuju dengan permohonan mereka untuk menghantar Alister ke hospital mental bagi membolehkannya menjalani pemerhatian terlebih dahulu.

“Peguam bersetuju, jika itu situasinya, menghantar anak guaman kami (untuk pemerhatian) selama sebulan dan kembali (ke mahkamah) pada 16 April untuk meneruskan isu kedua, jika perlu.

“Isu kedua ialah, sama ada wujud kesalahan dengan pensabitan dan hukuman seperti dibaca dalam prosiding,” jelasnya.

See berkata, jika terdapat bukti Alister tidak sihat dari segi mental, maka persoalan mengenai pensabitan dan hukuman tidak lagi timbul.

“Kami mengemukakan hujah-hujah menentang pensabitan dan hukuman. Persoalan itu belum timbul sekarang  kerana kita mahu dia (Alister) diletakkan di bawah pemerhatian (mental) terlebih dahulu.

“Jika sesi pendengaran perlu, tarikh yang ditetapkan untuk itu ialah 16 April ini,” jelasnya.

Sebelum ini, Alen dilaporkan sebagai berkata, anaknya mengalami gangguan mental dan sering mengurung diri di dalam biliknya.

Malah, pemerhatian dilakukan oleh pasukan peguam Sarawak pada Rabu lepas ke atas tertuduh di Penjara Puncak Borneo (lokasi dia ditempatkan) mendapati Alister keliru dengan keadaan yang dialaminya ketika ini.

Advertisement