Anda di sini

Lebam seluruh badan

 Suspek dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret semalam untuk permohonan reman.
DISYAKI TERLIBAT: Suspek dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret semalam untuk permohonan reman.

LIMBANG: Seorang kanak-kanak lelaki mengalami pendarahan pada otak kiri, selain kecederaan pada beberapa anggota badan dipercayai didera sepasang suami isteri yang merupakan penjaganya ketika dihantar ke Hospital Limbang, malam kelmarin.

Mangsa yang baharu berusia tiga tahun dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh penjaga terbabit yang juga ibu saudaranya, 20, pada jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat banyak kesan lebam di seluruh badan.

“Penjaga mangsa memberitahu pihak hospital bahawa suaminya telah melihat kanak-kanak tersebut tergelincir di tepi sungai dan terhantuk di kepala,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Dedahnya, hasil pemeriksaan hospital mendapati mangsa mengalami pendarahan pada otak kiri, calar pada pipi kiri dan kanan, lebam pada dahi, dagu, lengan kiri, paha kiri dan kanan, serta belakang badan.

“Terdapat juga kesan luka di bawah leher dan luka lama pada bahagian perut mangsa,” jelasnya.

Mangsa katanya, yang dirujuk ke Hospital Miri telah selesai menjalani pembedahan membuang darah beku di otak pada jam 2 petang semalam dan kini berada di wad ICU untuk pemantauan lanjut.

Hasil siasatan lanjut mendapati penjaganya mendakwa tidak mengetahui dan tidak melihat mangsa tergelincir di tepi sungai dan terhantuk di kepala kerana bekerja ketika kejadian.

“Penjaga turut mengaku pernah merotan mangsa menggunakan penyangkut baju sebelum ini sebagai pengajaran agar tidak nakal.

“Penjaganya memberitahu suaminya selalu memukul mangsa menggunakan tangan dan mengugutnya sebelum ini,” katanya lagi.

Menurut Mohd Bukhori lagi, mangsa ditinggalkan untuk dijaga ibu saudaranya itu oleh ibunya pada Ogos tahun lepas kerana menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah, manakala bapa mangsa tidak dapat dikenal pasti.

Susulan itu katanya, ibu saudara mangsa ditahan awal pagi semalam dan Mahkamah Majistret telah membenarkan tahanan reman ke atasnya selama empat hari hingga Ahad ini untuk membantu siasatan.

Manakala, polis sedang mengesan suami suspek untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (dera).