
KOTA KINABALU: Seramai lapan pekerja asing ditahan Jabatan Imigresen manakala 35 notis dan empat dikeluarkan pelbagai agensi sepanjang Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini.
Pengarah CIDB Sabah Rosmen Ag Hassan berkata operasi di tapak pembinaan di Tanjung Aru itu disertai seramai 82 anggota termasuklah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan
Imigresen, Suruhanjaya Tenaga, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Akedemi Binaan Malaysia (ABM).
"Sepanjang operasi dilaksanakan, pihak CIDB menjalankan pemeriksaan terhadap satu kontraktor utama dan tujuh sub kontraktor di tapak pembinaan serta 82 pekerja keseluruhan termasuk lapan pekerja tempatan, 17 pemegang Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), 12 warga Filipina dan 39 warga China.
"Hasil pemeriksaan mendapati salah satu pihak sub kontraktor menjalankan kerja lebih gred manakala empat lagi sub kontraktor lain akan dipanggil untuk siasatan selanjutnya.
"Beberapa pekerja di tapak pembinaan turut didapati belum diagreditasi dan pihak CIDB terpaksa mengeluarkan sejumlah 18 notis kepada kontraktor serta pihak personal binaan disebabkan kesalahan dan pelanggaran peraturan di tapak pembinaan," katanya.
Rosmen berkata Jabatan Imigresen turut menahan lapan pekerja warga asing warga Filipina dan China yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri serta permit pekerja sah dan kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Menurutnya DBKK turut mengeluarkan tiga kompaun dan 15 notis turut dikeluarkan masing-masing 10 daripada JTK dan lima dari JKKP kepada pihak kontraktor.
"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga mengeluarkan satu notis dan satu kompuan berikutan keadaan persekitaran di tapak pembinaan yang kurang memuaskan manakala Suruhanjaya Tenaga turut mengeluarkan satu notis kepada pihak pemaju," katanya.
Beliau berkata operasi seumpama akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan jalinan kerjasama antara agensi terlibat selain memastikan operasi penguatkuasaan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan bersesuaian dengan objektif utama operasi.
"CIDB juga ingin memberikan kesedaran kepada pemain industri dan pihak pemaju terutama dalam bidang pembinaan agar mematuhi peraturan dan undang-undang dalam lima skop utama yang ditekankan CIDB.
"Skop ini termasuklah mengambil kira keperluan berdaftar sebagai kontraktor sah dan personal binaan, keperluan pekerja binaan untuk dinilai, keperluan memastikan bahan binaan memenuhi standard yang ditetapkan serta keperluan pembayaran levi pekerja," katanya.
Tambahnya pihak CIDB akan menjalankan operasi penguatkuasaan secara bersepasu di bahagian pantai timur termasuklah Tawau dan Sandakan selepas ini.