Anda di sini

Edar dadah: Wanita warga asing berhadapan hukuman gantung

 

KOTA KINABALU: Seorang wanita berhadapan hukuman gantung atau penjara seumur hidup, selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mengedar dadah seberat 5,072.4 gram. 

Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada Nursafa Zakiah Jamaneh yang dibawa di hadapan Majistret Afiq Agoes. 

Tertuduh mengedar dadah jenis Methamphetamine berkenaan, pada 1 Mac jam 9.25 petang di Pejabat Operasi, Cawangan Pemeriksaan Penumpang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini. 

Sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dikenakan tidak kurang 15 kali sebatan, namun tiada sebatan untuk wanita. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama. 

Afiq menetapkan sebutan semula kes pada 11 April terhadap tertuduh sementara menunggu laporan kimia disediakan. 

Dalam pada itu, tertuduh yang berusia dalam lingkungan 20-an diperintahkan terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah. 

Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip mewakili pihak pendakwaan.