Anda di sini

Dua lelaki ditahan bersama 1.05 kilogram syabu

Advertisement
 AZHAR bersama pegawai kanan menunjukkan syabu yang dirampas. 
 AZHAR bersama pegawai kanan menunjukkan syabu yang dirampas. 

SANDAKAN: Sorok dalam plastik serbuk teh, ia adalah tindakan terdesak tokan dadah bagi mengaburi aktiviti haram pengedaran dadah 1.05 kilogram bernilai RM52,500 daripada dikesan polis.

Kegiatan didalangi dua lelaki tempatan berusia 30-an itu terbongkar selepas pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menahan kedua-dua mereka di kawasan Pasaraya Parkwell Indah Jaya Batu 4, kira-kira jam 8.40 malam 12 Mac lepas. 

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azhar Hamin berkata hasil risikan oleh pegawai dan anggota JSJ Narkotik dari IPD Sandakan berjaya mengesan modus operasi yang digunakan oleh kedua-dua suspek terbabit. 

Beliau berkata, semasa tangkapan dibuat, seorang lelaki sedang memegang satu bungkusan plastik hitam dan seorang lagi menunggu di dalam kereta. 

“Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan plastik itu, terdapat satu plastik hijau (dalam bungkusan serbuk teh). Pihak polis kemudiannya membuka paket plastik hijau itu dan mendapati di dalamnya berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis methamphetamine. 

“Anggaran berat kasar ketulan hablur disyaki dadah itu seberat 1.05 kilogram dengan harga rampasan dianggarkan bernilai RM52,500,” katanya. 

Azhar berkata, pihaknya juga menahan dua lelaki terbabit bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine. 

“Pemeriksaan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod lampau berkaitan dadah,” katanya. 

Katanya, kedua-dua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama seminggu sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan. 

“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek memperolehi bekalan dadah dari daerah Lahad Datu dan cuba menyeludup ke daerah ini dengan menggunakan kereta persendirian,” jelasnya. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Azhar berkata rampasan itu merupakan kejayaan rampasan dadah kedua terbesar bagi daerah Sandakan setakat tahun 2019. 

“Tangkapan kejayaan terbesar JSJ Narkotik IPD Sandakan dengan rampasan 2.1 kilogram pada 1 Mac 2019 yang bernilai RM113,000 dan menahan seorang suspek," katanya.

  • oleh
  • Advertisement