Anda di sini

Teknologi pacu pertanian

Advertisement
 Morshidi menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari yang menyempurnakan perasmian Kampus Sementara CENTEXS Betong, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Awang Tengah, Uggah, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan ADUN Layar Gerald Rentap Jabu (belakang).
PENGHARGAAN: Morshidi menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari yang menyempurnakan perasmian Kampus Sementara CENTEXS Betong, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Awang Tengah, Uggah, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan ADUN Layar Gerald Rentap Jabu (belakang).

BETONG: Pembukaan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di Betong bukti kerajaan Sarawak mahu kawasan itu terus menerima akses kepakaran dalam bidang pertanian.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Betong adalah sebahagian kawasan Agropolitan Bukit Sadok yang sedang dibangunkan, di mana kemudahannya akan terus ditambah dengan perancangan ekonomi digital yang lebih tersusun menggunakan teknologi terkini.

“Kalau produk pertanian yang kita keluarkan mempunyai bahan yang berkualiti maka ia boleh menjadi sumber makanan yang kita eksport ke luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Perasmian Kampus Sementara CENTEXS Betong di sini, semalam.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak telah merancang beberapa infrastruktur di Betong termasuk membina lapangan terbang kerana kawasan itu strategik sebagai kawasan agropolitan.

“Ia berpotensi untuk menjamin masa depan di mana kita telah berbincang bersama pemimpin dan pegawai kanan kerajaan kita untuk terus membangunkan kemudahan asas termasuk akses jalan raya, bekalan air dan juga menara telekomunikasi berkelajuan tinggi.

“Sarawak Multimedia Authority (SMA) sedang mengkaji supaya kelajuan jalur lebar di sini dalam lingkungan 4G.

“Ini membolehkan kita membangunkan pertanian secara menyeluruh termasuklah tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh menggunakan kaedah penanaman pintar,” katanya.

Tambahnya, CENTEXS akan bekerjasama dengan syarikat teknologi terkemuka Asia Huawei yang boleh membantu dalam kepakaran tersebut.

“Mereka mempunyai beberapa peranti dan teknologi yang boleh menguruskan ladang dengan menggunakan teknologi di mana semua kerja-kerja boleh dipantau melalui gajet dan teknologi,” katanya.

Kampus CENTEXS Betong menawarkan program-program teknologi fesyen, pendawaian elektrik dan pembangunan aplikasi sistem android.

Pada masa sama, CENTEXS Betong akan menawarkan program pertanian pintar yang bertujuan menambah baik sektor pertanian di samping meningkatkan produktiviti tanaman.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

  • oleh
  • Advertisement