Anda di sini

Tebingan Siniawan bakal diwujud untuk rancakkan lagi pelancongan

Abang Johari bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina anjuran kawasan DUN Serembu. Turut kelihatan ADUN Serembu, Miro Simuh (kiri)
Abang Johari bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina anjuran kawasan DUN Serembu. Turut kelihatan ADUN Serembu, Miro Simuh (kiri) - Gambar Chimon Upon

BAU: Siniawan bakal mempunyai tebingan sungai bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di pekan itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu berkata kedudukan Siniawan berhampiran Sungai Sarawak boleh menjadi perhentian pelancongan menyusuri Sungai Sarawak.

"Maka itu saya telah memikirkan selain jalan darat, Siniawan boleh dikunjungi dari Tebingan Kuching dengan menyusuri sungai hingga ke pekan ini.

"Sudah pasti untuk itu Siniawan memerlukan tebingan sungai dan dengan ini saya meluluskan tebingan sungai Siniawan," katanya berucap pada Majlis Bersama Pemimpin sempena Makan Malam Tahun Baharu Cina 2019 di Dewan Masyarakat Siniawan di sini, Rabu malam.

Tambah Abang Johari, beliau akan memperuntukkan dana bagi pembinaan tebingan sungai berkenaan.

Katanya, Siniawan terkenal yang dengan keunikan pekan berlatarbelakangkan bangunan lama rumah kedai dan keakraban penduduk berbilang agama dan bangsa.

Sehubungan itu, beliau memberitahu para pelancong yang datang ke Siniawan bukan sahaja berpengalaman melalui bot menyusuri sungai tetapi suasana di pekan itu sendiri.

"Siniawan mempunyai tarikan tersendiri dimana pelancong yang datang boleh menikmati suasana seperti gaya barat yang ditampilkan di pekan ini.

"Pelancong pada masa yang sama menikmati pemandangan sepanjang sungai kita untuk ke Siniawan," katanya.

Beliau menjelaskan dengan perancangan itu ia bukan sahaja merancakkan aktiviti pelancongan Siniawan tetapi taraf ekonomi kepada penduduknya.