
TAMPARULI: Pejabat Daerah Tamparuli dan Majlis Daerah Tuaran (MDT) diminta menyegerakan pemasangan papan amaran larangan pendaki Bukit Perahu, di sini, membawa haiwan peliharaan terutama anjing ketika mendaki bukit berkenaan.
Ia ekoran kejadian beberapa pendaki cedera diserang anjing yang dibawa pendaki lain, ketika mendaki puncak tertinggi itu, baru-baru ini.
Difahamkan, dalam kejadian terbaharu, seorang pendaki lelaki berusia lingkungan 50-an cedera pada paha kiri, selepas diserang dan digigit empat anjing yang dibawa pemiliknya mendaki bukit itu pertengahan bulan lalu.
Berikutan itu, individu terbabit menulis surat kepada Pejabat Daerah Tamparuli meminta papan amaran larangan membawa haiwan dipasang di bukit berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini papan amaran larangan berkenaan belum dipasang Pejabat Daerah Tamparuli dan MDT.
Pendaki, James Stephen, 41, berkata perbuatan membawa anjing mendaki Bukit Perahu adalah tidak wajar, memandangkan haiwan berkenaan boleh mengancam keselamatan pendaki lain.
"Justeru, pemasangan papan tanda larangan pendaki membawa haiwan terutama anjing ke Bukit Perahu penting, supaya pemilik haiwan dapat mematuhi peraturan berkenaan.
"Ini kerana, Bukit Perahu menjadi tumpuan ratusan pendaki tempatan dan luar hampir setiap minggu," katanya.
Beliau berkata, kehadiran haiwan seperti anjing di kawasan tumpuan ramai itu mewujudkan suasana tidak selesa kepada pendaki, selain mewujudkan kebimbangan diserang haiwan berkenaan.
Moren Richard, 31, bersetuju larangan membawa haiwan mendaki Bukit Perahu dikuat kuasa, kerana langkah itu boleh menjamin keselamatan serta keselesaan pengunjung.
"Bukan Bukit Perahu saja, trek joging pekan Tamparuli dan Tuaran juga wajar dipasang papan amaran larangan membawa haiwan terutama anjing demi kebaikan semua pihak," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap dua agensi kerajaan berkenaan dapat mengambil langkag segera, memasang papan tanda amaran berkenaan di kawasan Bukit Perahu demi kebaikan pendaki.