
PUTATAN: Keperluan pelajar yang semakin meningkat dari semasa ke semasa terus diberi perhatian dalam membangunkan infrastruktur pendidikan di daerah ini.
Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai berkata, pelaksanaan projek sekolah daif dan pembinaan sekolah antara keperluan yang diutamakan oleh kerajaan negeri.
Katanya, usaha yang dilaksanakan itu bukan sahaja dapat mengatasi isu kapasiti sekolah yang mencapai tahap maksimum.
Malah, jelasnya, kerajaan juga dapat memantau rapat perkembangan projek-projek berkenaan supaya dapat disiapkan mengikut jadual sepatutnya.
Beliau berkata, perkembangan setiap projek di kawasannya perlu dilaporkan dari semasa ke semasa agar Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dapat mengenal pasti kedudukan projek yang dilaksanakan.
Uda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Kawi, Sekolah Kebangsaan (SK) Tombovo, SK Petagas dan tapak pembinaan SMK Petagas di sini.
Lawatan berkenaan bagi memantau perkembangan pelaksanaan projek-projek di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
"Ini adalah lawatan kerja seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas mengenai projek-projek yang sedang dilaksanakan di kawasan ini sama ada projek kerajaan negeri atau pun Persekutuan.
"Bangunan SMK Petagas yang dibina sejak April 2018 ini dijangka siap pada tahun hadapan sekali gus dapat menampung keperluan pelajar sekolah menengah di daerah ini," jelasnya.
Menurutnya, sekolah baharu itu mempunyai 36 bilik darjah dan dilengkapi dengan bangunan kuarters guru, dewan khas serta dewan perhimpunan pelajar dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM39 juta.
"Perkembangan setakat ini, tidak ada sebarang penangguhan berlaku dan ia dijangka siap tahun hadapan memandangkan sekolah ini perlu disiapkan dengan segera.
"Kedudukan bilik darjah sekolah menengah di Putatan sekarang ini sangat sempit kerana kita hanya ada dua sekolah menengah iaitu SMK Tansau dan SMK Putatan," katanya.
Beliau berkata, keadaan itu sudah melebihi kapasiti maksimum. Justeru, dengan siapnya projek berkenaan, pihaknya berharap ia dapat menampung semua bilik darjah sedia ada.