
KOTA KINABALU: Pergerakan Pandu Puteri hendaklah bersedia melaksanakan pelbagai usaha serta inisiatif bagi memastikan persatuan itu terus bergerak maju demi mendukung matlamatnya dalam membantu membangunkan potensi remaja perempuan di negara ini.
Pengerusi Alumni Majlis Belia Malaysia (MBM) Sabah Dato' Juhari Janan berkata, pada masa yang sama, Pandu Puteri turut berkhidmat kepada segenap lapisan masyarakat termasuk golongan muda, wanita, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas di setiap lapisan masyarakat.
"Setiap remaja juga harus diberi peluang untuk belajar dan mencapai potensi kendiri melalui aktiviti kemasyarakatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Kesukarelawan dan Kepimpinan anjuran Persatuan Pandu puteri Cawangan Sabah di Dewan PRIDE Wisma Pandu Puteri, di sini.
Juhari berkata, ahli Pandu Puteri mestilah menjadi anak-anak gadis yang positif diri, memiliki jati diri yang mantap, berdisiplin dan mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi.
"Perkara positif perlu disemai di dalam jiwa anak muda kerana kejayaan sebuah negara banyak bergantung kepada tenaga muda," katanya.
Lebih penting, katanya, ahli Pandu Puteri hendaklah lebih proaktif dalam menguasai pelbagai kemahiran bagi memastikan mereka mempunyai daya saing yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
Katanya, ia kerana dengan menguasai pelbagai kemahiran dapat menghasilkan generasi berkemahiran dan berilmu, sekali gus boleh menyalurkan ilmu dan pengetahuan membantu kerajaan membina masa depan yang lebih baik.
"Individu yang berilmu adalah sebahagian anggota masyarakat dan bakal mewarisi kepimpinan negara... sebab itu mereka perlu banyak kemahiran," katanya.
Juhari berkata, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan menyediakan pelbagai program selain program yang disediakan oleh persatuan belia itu sendiri.
Katanya, selain mengikuti program yang disediakan kerajaan, ahli persatuan belia juga diberi peluang untuk menyertai program belia di luar negara.
"Sebagai contoh, ramai dalam kalangan pemimpin belia yang dihantar untuk mengikuti program kapal belia Asia Tenggara di Jepun.
"Semua ini adalah komitmen pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan juga Kementerian Belia dan Sukan Malaysia serta negeri Sabah," katanya.