Anda di sini

Wanita di Malaysia masih lagi mengalami diskriminasi: SUHAKAM

Advertisement

KUCHING: Walaupun banyak kemajuan dalam mempromosikan hak-hak wanita, golongan wanita di Malaysia masih lagi mengalami diskriminasi.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Tan Sri Razali Ismail berkata, berdasarkan sumber Jabatan Perangkaan, hanya 54.7 peratus penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan berbanding 80.7 peratus lelaki.

“Namun lebih kurang separuh daripada kesemua profesional dan pekerja teknikal adalah wanita.

“Bagaimanapun, hanya 22.2 peratus wanita yang menyandang jawatan tertinggi di peringkat pengurusan. Secara puratanya, wanita memperolehi RM9.38 bagi setiap RM10 yang diperolehi lelaki.

“Kami masih belum dapat melihat perwakilan wanita yang setara dalam jawatan kepimpinan di setiap peringkat masyarakat.

“Antara 100 syarikat terbesar di Bursa Malaysia, hanya terdapat 23.2 peratus sahaja ahli Lembaga Pengarah dilantik dalam kalangan wanita,” katanya sempena sambutan Hari Wanita 2019 baru-baru ini.

Ia diikuti dengan hanya 13.9 peratus wanita menduduki kerusi di Parlimen, ini secara jelasnya menunjukkan bahawa perlunya galakan yang tinggi untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan kepimpinan.

Angka itu tegasnya belum mengambil kira jumlah remaja perempuan yang tidak dapat bekerja kerana berkahwin awal di mana ia memberi impak untuk mereka menamatkan pendidikan.

Tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 ‘Think equal, build smart, innovate for change’ (Fikir kesaksamaan, bina dengan kebijaksanaan, berinovasi untuk perubahan) memfokuskan kepada cara-cara berinovatif untuk membantu meningkatkan kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita tersebut, ujarnya.

Pada hari yang dikhususkan untuk meraikan wanita ini, adalah penting untuk kita mengingati bahawa golongan wanita tidak boleh hidup dalam kehidupan yang ditetapkan sesiapa.

Mereka juga perlu menyumbang secara positif kepada negara dan masyarakat apabila mereka mengalami halangan dan rintangan, bukan kerana ketidakbolehan mereka untuk memberi yang terbaik, tetapi bebanan budaya dan perdebatan jantina mereka.

Halangan yang dihadapi untuk pemerkasaan wanita ini amat penting untuk ditangani secara sistematik dan usaha ini perlu diterajui kerajaan.

Dengan penyertaan kepada Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995, Malaysia mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk menggubal undang-undang bagi mengiktiraf kesaksamaan gender dan hukuman bagi gangguan seksual.

Malaysia mengambil masa 24 tahun untuk membuat keputusan bagi pelaksanaan program tersebut dan kedua-dua Rang Undang-Undang (RUU) ini akhirnya dirangka melalui Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Ini merupakan langkah-langkah yang positif namun jawatankuasa CEDAW, SUHAKAM dan kumpulan yang memperjuangkan hak wanita menggesa agar kerajaan mempercepatkan penggubalan undang-undang tersebut dan menyeru kerajaan membentangkan kedua-dua RUU dalam sidang Parlimen pada tahun ini.

SUHAKAM juga menyeru agar kedua-dua undang-undang ini dipanjangkan untuk perlindungan wanita dan kanak-kanak perempuan termasuk dalam komuniti Orang Asli, pelarian, pekerja asing dan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia.

Walaupun statistik boleh menggambarkan ketidaksaksamaan, kita harus mengakui bahawa wanita di Malaysia mempunyai peranan dalam mengurangkan bebanan kemiskinan, di kawasan tekanan ekonomi yang memberi kesan kepada pendidikan.

Wanita perlu menggalakkan perubahan dan menarik minat golongan muda, bukan sahaja dalam menamatkan pendidikan malah dalam menyemai semangat persaingan demi mengubah keadaan sedia ada.

“Ini merupakan peranan-peranan yang belum dipenuhi sepenuhnya dan ia perlu dimiliki dan diperkasakan semua wanita.

“Dalam mencapai perkara ini, meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun tanpa pengecualian akan membolehkan remaja-remaja ini memberi fokus kepada pendidikan agar mereka mempunyai kebebasan dari segi kewangan, bergerak maju ke hadapan dan memperkasakan diri mereka,” tegasnya.

Advertisement