Anda di sini

STPM Sarawak cemerlang

Advertisement
 Pengetua SMK Batu Lintang Bakhtiar Afandi (tengah) bersama pelajar sekolah tersebut yang memperolehi gred A penuh dalam STPM 2018 yang diumumkan semalam. — Gambar Chimon Upon
CEMERLANG: Pengetua SMK Batu Lintang Bakhtiar Afandi (tengah) bersama pelajar sekolah tersebut yang memperolehi gred A penuh dalam STPM 2018 yang diumumkan semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sarawak mencatat keputusan memberangsangkan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 dengan 92 calon berjaya mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Azhar Ahmad menerusi kenyataan rasmi semalam berkata, keputusan STPM 2018 bagi negeri ini meningkat kepada PNGK 2.73 berbanding PNGK 2.64 pada 2017.

Dari segi pencapaian mata pelajaran pula katanya, terdapat peningkatan yang amat ketara bagi 10 daripada 21 mata pelajaran yang diambil melibatkan Pengajian Perniagaan, Pengajian Am, Ekonomi, Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Syariah, Seni Visual, Bahasa Melayu, Geografi, Sejarah dan Bahasa Arab.

“Dari segi pencapaian individu pula, seramai 92 calon sekolah menengah kebangsaan (SMK) Sarawak berjaya mencapai PNGK 4.00 berbanding 51 calon pada tahun 2017.

“Manakala seramai 1,997 lagi calon mendapat PNGK 3.00 ke atas meningkat 4.25 peratus berbanding 1,726 calon pada STPM tahun 2017,” katanya sambil menambah, dua calon Sarawak iaitu Kuan Kah Yee dari SMK Tun Abdul Razak, Padawan dan Connie Ong Hui May dari SMK Oya, Dalat telah memperoleh keputusan cemerlang dan dijemput menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang STPM 2018 peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur semalam.

Dari segi pencapaian sekolah pula, sebanyak 28 sekolah telah mencapai keputusan STPM 2018 yang sangat memberangsangkan iaitu PNGK melebihi 2.80.

SMK Chung Hua, Sibu mencata keputusan terbaik bagi sekolah-sekolah Sarawak dengan PNGK 3.53 diikuti SMK Kampung Nangka, Sibu (PNGK 3.50) dan SMK Sacred Heart, Sibu (PNGK 3.46).

Dalam pada itu seramai 5,479 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM di Sarawak pada 2018 dengan 5,450 daripadanya merupakan calon sekolah menengah kebangsaan dan 29 orang lagi adalah calon persendirian.

Daripada keseluruhan calon yang berdaftar, seramai 5,191 orang calon sekolah telah mendapat sijil STPM pada 2018.

Keputusan peperiksaan STPM 2018 bagi calon sekolah telah dihantar kepada semua pengetua sekolah manakala Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan menghantar keputusan bagi calon persendirian melalui pos.

Semua calon boleh menyemak keputusan mereka melalui SMS dengan menaip STPM <jarak> Result <jarak> nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888.

Semakan juga boleh dibuat dengan melayari laman web MPM di ww.mpm.edu.my bermula hari ini selepas jam 12 tengah hari.

Mana-mana calon yang ingin membuat pembetulan maklumat peribadi pada slip keputusan hendaklah mengemukakan pada atau sebelum 31 Mei.

  • oleh
  • Advertisement