Anda di sini

RM247 juta diperuntuk bangunkan Kemabong

Advertisement
JAMAWI merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian penduduk sempena majlis itu.
JAMAWI merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian penduduk sempena majlis itu.

KEMABONG: Sejumlah RM247 juta diluluskan untuk menyediakan projek infrastruktur asas utama di daerah kecil Kemabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar, berkata peruntukan besar itu adalah untuk membina jalan raya luar bandar Kemabong Ke Kampung Rundum.

Beliau berkata sejumlah RM212 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bagi membina jaringan jalan raya perhubungan ke Kampung Rundum.

Katanya, tender bagi projek terbabit akan dikeluarkan pada bulan Julai tahun ini.

"Selebihnya peruntukan itu ialah bagi menyediakan kemudahan bekalan elektrik iaitu RM35 juta yang bakal dinikmati oleh penduduk Kampung Rundum serta sembilan kampung lagi.

"Projek penyediaan bekalan elektrik ini dijangka bermula tahun ini memandangkan tender ini akan dikeluarkan pada bulan hadapan (April)," katanya kepada media selepas merasmikan program khidmat masyarakat Kelab Lions Tenom dan Kelab 4x4 Tenom di Dewan Masyarakat Kampung Rundum, di sini hari ini.

Menurut Jamawi apabila terlaksana sepenuhnya dua projek mega itu, ia akan merubah landskap pembangunan di kawasan Rundum Highlands yang berpontensi untuk dimajukan dalam dua sektor iaitu pelancongan dan pertanian.

"Saya yakin dan percaya dengan terlaksananya kedua dua projek ini, kawasan Rundum Highalnds dan sekitarnya akan berkembang maju dan ia juga turut memberikan keselesaan kepada guru guru dan pelajar di tempat sekolah di sekitar kawasan ini iaitu SK Rundum, Korolok Kapulu dan Sumambu," katanya.

Beliau berkata, dengan tersedianya kemudahan asas itu, taraf sosioekonomi rakyat akan dapat ditingkatkan.

"Rundum Highlands akan menjadi tumpuan pelancong dalam negara dan dari luar negara, justeru rakyat perlu merebut peluang dengan mengusahakan pelbagai industri seperti kraftangan makanan dan budaya yang boleh dipasarkan kepada pelancong nanti," tambahnya.

Dalam pada itu, Jamawi berkata beliau telah memohon kepada kerajaan Pusat melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia agar mendirikan beberapa pencawang telekomunikasi di kawasan Rundum bagi memboleh masyarakat di kawasan itu mendapat akses komunikasi.

"Banyak lagi projek dan peruntukan akan diberikan oleh Kerajaan Pusat dan negeri kepada penduduk luar bandar, asalkan terus menyokong kerajaan sedia ada," katanya.

  • oleh
  • Advertisement