Anda di sini

Penahanan suspek pengganas di Serian, Sarawak pantau keselamatan

Advertisement
Antara individu disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan pengganas ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, PDRM dalam beberapa serbuan yang dilakukan di sekitar Lembah Klang dan Sarawak pada 2 hingga 9 Februari lalu. - Gambar Bernama
Antara individu disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan pengganas ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, PDRM dalam beberapa serbuan yang dilakukan di sekitar Lembah Klang dan Sarawak pada 2 hingga 9 Februari lalu. - Gambar Bernama

BETONG: Sarawak akan terus memantau dan memperketatkan tahap keselamatan negeri ini susulan insiden penangkapan tiga warga asing disyaki anggota kumpulan pengganas di Serian baru-baru ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia satu perkara yang membimbangkan.

Beliau pada masa yang sama menggambarkan insiden itu menunjukkan isu keselamatan negeri dari satu segi telah diceroboh.

"Namun kita akan memantau situasi ini. 

"Apa yang kita mahu masyarakat kita lebih berhati-hati dan bersedia," katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari orang ramai seharusnya lebih waspada terhadap orang asing yang datang ke kawasan mereka.

"Kita mesti waspada terhadap orang asing yang tiba-tiba membuka restoran dalam kalangan anda, walaupun mereka memakai kopiah.

"Ia ada kaitan dengan persepsi (tanggapan)," tegasnya yang juga pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri.

Sementara itu, akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga Mesir serta seorang lelaki dan seorang wanita warga Malaysia berusia 20 hingga 54 tahun ditangkap Serian, selepas disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas.

Mereka antara sembilan suspek yang ditangkap antara 2 dan 9 Februari dalam operasi Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Lembah Klang dan Sarawak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata sembilan suspek yang ditangkap itu terdiri daripada enam rakyat Mesir dan seorang warganegara Tunisia itu diusir ke negara asal mereka kerana kehadiran mereka boleh mengancam keselamatan negara.

Abang Johari berkata Sarawak berterima kasih atas tindakan pantas dan cekap pihak polis dalam menangani perkara itu.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada PDRM atas usaha dan kecekapan mereka membolehkan mereka mengenal pasti, menghalang serta menangkap suspek terlibat dalam kegiatan tersebut," katanya.

Advertisement