Anda di sini

Maher Zain pukau penonton pada konsert jelajah Malaysia 2019

Advertisement
 Maher Zain ketika membuat persembahan pada Maher Zain Malaysia Tour 2019 di Axiata Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini. — Gambar Bernama
PUKAU PENONTON: Maher Zain ketika membuat persembahan pada Maher Zain Malaysia Tour 2019 di Axiata Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini. — Gambar Bernama

GESEKAN biola dan irama lagu yang mendayu menjadikan 16,000 penonton di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, sayu dan sebak seketika apabila penyanyi R&B antarabangsa Maher Zain mendendangkan lagu ‘Palestine Will Be Free’.

Malah penyanyi berketurunan Lubnan itu turut tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika menyanyikan lagu tersebut yang merupakan sebahagian daripada lagu pembukaan hari pertama konsert Jelajah Malaysia 2019, malam Sabtu lepas.

Penonton dari dalam dan luar negara berhimpun di stadium itu bagi menyaksikan konsert yang julung kali diadakan selepas konsert terakhirnya pada tahun 2016 sempena kelahiran album ‘One’.

Sebanyak 21 buah lagu didendangkan pada malam konsert pertama yang berlangsung selama lebih dua jam, menyentuh hati ribuan peminat yang berada dalam stadium tersebut.

 Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bergambar bersama kanak-kanak pelarian Syria, Bana Al-Abed (tengah) pada Maher Zain Malaysia Tour 2019 di Axiata Arena. Turut bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norrainee Abdul Rahman. — Gambar Bernama
DI KONSERT JELAJAH MAHER ZAIN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bergambar bersama kanak-kanak pelarian Syria, Bana Al-Abed (tengah) pada Maher Zain Malaysia Tour 2019 di Axiata Arena. Turut bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norrainee Abdul Rahman. — Gambar Bernama

Antaranya lagu ‘InsyaAllah’, ‘Medina’, ‘Number 1’, ‘Barakallah’ dan ‘Wonderful World’.

Konsert tersebut dimulakan dengan gimik pembukaan apabila Maher memasuki ruang stadium melalui kalangan penonton, diiringi percikan bunga api dan seterusnya nyanyian lagu pembukaan bertajuk ‘Raditu’.

Maher mencuri tumpuan ribuan penonton pada malam itu apabila membawa mereka menelusuri perjalanan dan pengalaman hidup --- yang dikongsi oleh Bana Al-Abed, seorang kanak-kanak perempuan, berusia 9 tahun sebagai pelarian di negara bergolak Syria, di atas pentas yang sama.

 

Hadir sama bagi memeriahkan konsert tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Selepas ini, Maher akan menjelajah tiga buah negeri bagi menjayakan konsert jelajahnya iaitu di Pasir Gudang, Johor pada 15 Mac, Stadium Spice Pulau Pinang 16 Mac dan Universiti Malaysia Sabah pada 17 Mac.

Konsert jelajah tersebut dijayakan oleh My Events International dan New Catalysts Resources (NCR) selaku penaja rasmi bersama dan Bernama dilantik sebagai antara media rasmi. — Bernama

Advertisement