Anda di sini

Kurang anggota tidak jejas prestasi

Advertisement
PEMERIKSAAN kawalan kehormat oleh Zaini (tengah) sempena lawatan kerja ke IPD Kota Kinabalu.
PEMERIKSAAN kawalan kehormat oleh Zaini (tengah) sempena lawatan kerja ke IPD Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kekurangan dari segi keanggotaan tidak menjejaskan prestasi penugasan para pegawai dan anggota polis di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, secara keseluruhan Kontinjen Polis Sabah masih kekurangan sekitar sembilan peratus bagi jumlah keanggotaan.

Namun, katanya, ia bukanlah perkara yang kritikal memandangkan semangat dan moral kerja para pegawai serta anggota sentiasa pada tahap yang tinggi.

"Perkara ini juga tidak menjejaskan prestasi dan penugasan setiap pegawai dan anggota kita dalam menjalankan tugas serta aktiviti kepolisan.

"Kekurangan ini juga bukan alasan untuk anggota polis di negeri ini menampilkan prestasi kerja yang baik.

"Kita akan melihat dan bantu atasi masalah ini dengan mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan isu yang membabitkan kekurangan anggota dan logistik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena Lawatan Kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini hari ini.

Zaini sebelum ini turut mengadakan lawatan kerja ke IPD Keningau, Tenom, Kunak dan Ranau.

Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada permasalahan yang kritikal di setiap IPD selagi ada permohonan dibuat.

"Sebagai contoh, semasa lawatan ke IPD Ranau, saya melihat Balai Polis Kundasang ada keperluan yang mendesak kerana ia terletak hanya dalam satu kabin.

"Kita akan usahakan untuk mengatasi isu ini dan begitu juga IPD di seluruh Sabah supaya mengenal pasti balai serta pondok polis baharu yang boleh dibangunkan," katanya.

Beliau berkata, setiap ketua polis daerah juga sudah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan yang boleh dibangunkan balai dan pondok polis.

Usaha itu, jelasnya, bagi memastikan balai polis tidak jauh dari masyarakat dan ia akan memudahkan pihaknya untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman.

  • oleh
  • Advertisement