Anda di sini

Kg Air Semporna dipilih pos pertama perlindungan keselamatan kebombaan

Advertisement
MOHAMMAD Hamdan (dua kanan) menerima replika cek RM18,441 daripada Kamarulzaman (kiri) untuk tabung bagi bantuan kepada waris pegawai bomba yang terkorban semasa bertugas.
MOHAMMAD Hamdan (dua kanan) menerima replika cek RM18,441 daripada Kamarulzaman (kiri) untuk tabung bagi bantuan kepada waris pegawai bomba yang terkorban semasa bertugas.

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merancang untuk membina pos perlindungan keselamatan kebakaran dan juga kebombaan di tempat-tempat yang dikenal pasti di negeri ini.

Ketua Pengarah JBPM Dato Mohammad Hamdan Haji Wahid berkata, projek pertama yang akan kendalikan adalah di kawasan Kampung Air berdekatan Pulau Bum-Bum Semporna.

"Jabatan bomba akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah untuk menyediakan tempat pos berkenaan.

"Ia bagi memberi respon aspek pemadaman, penyalamatan dan EMRS kepada kawasan yang berdekatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM Negeri Sabah dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018, di sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, post perlindungan keselamatan kebakaran di Kampung Air akan dikendalikan oleh Pasukan Bomba Sepenuh Masa (PBSM).

"Ini ekoran daripada terlalu banyak kes kebakaran berlaku di mana apabila bomba respon didapati bahawa tatacara kita dengan keadaan balai bomba yang sedia ada tidak begitu berkesan.

"Jadi atas aspek ini kita mencadangkan kenapa tidak kita sendiri yang terlibat di dalam membina pos-pos yang berdekatan dengan Kampung Air berkenaan.

"Apabila jentera bomba sampai, ia tidak boleh menembusi dalam kawasan-kawasan kebakaran melainkan kita mempunyai pendekatan menggunakan air dan bot," katanya.

Mohammad Hamdan berkata, Jabatan Bomba juga bercadang untuk mewujudkan pili bomba bagi mendapatkan sumber air yang dipam dari laut.

"Sudah tentu memerlukan komitmen daripada kerajaan negeri untuk menyediakan tapak yang telah dikenal pasti selain dari segi kelengkapan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, seramai 76 pegawai JBPM Sabah menerima pengnaugerahan pingat kebesaran jabatan dan APC 2018.

Ia merupakan majlis tahunan yang diadakan bagi mengenang jasa dan bakti yang diberi serta dicurahkan oleh warga JBPM Sabah. Turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah.

  • oleh
  • Advertisement