Anda di sini

Awang Tengah nafi keluar PBB untuk terajui PSB  

Advertisement
Awang Tengah

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menafikan dakwaan mahu meninggalkan parti tersebut untuk memimpin Parti Sarawak Bersatu (PSB). 

Dakwaan yang tersebar dalam kumpulan WhatsApp tersebut turut disertai dengan senarai barisan kepimpinan PSB dengan Awang Tengah sendiri dikatakan sebagai presiden. 

Manakala bekas Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu disebut sebagai penyandang jawatan kedua tertinggi dalam parti tersebut selaku timbalan presiden bersama Dato Sri Wong Soon Koh dan Dr Abdul Rahman Ismail. 

Bagaimanapun, pejabat Awang Tengah menerusi satu kenyataan hari ini menafikan sekerasnya dakwaan ini dan menyifatkannya sebagai tindakan nakal individu tertentu dengan niat jahat untuk memecah belahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

“Datuk Amar Awang Tengah enggan memberi respon kepada khabar angin liar dan tidak berasas yang disebarkan dalam kumpulan WhatsApp tersebut. 

“Dakwaan ini dibuat oleh individu nakal dengan niat jahat untuk mewujudkan perselihan dalam GPS,” kata kenyataan tersebut. 

Turut disenaraikan dalam barisan kepimpinan PSB ialah Datuk Dr Jerip Susil (Setiausaha Agung), George Lo (Timbalan Setiausaha Agung), Dr Johnical Rayong (Ketua Pemuda) dan Rosey Yunus (Ketua Wanita). 

Jawatan lain termasuklah Bendahari Agung (Datuk Masir Kujat), Timbalan Bendahari Agung (Ripin Lamat), Naib Presiden Kanan (Datuk William Nyalau, Datuk Tiong Thai King dan Datuk Naroden Majais), Ketua Penerangan, Datuk Sylvester Entri Muran dibantu Dato Ranum Mina dan Richard Will. 

Lima jawatan naib presiden PSB pula dikhabarkan bakal diisi Datu Len Talif Salleh, Razi Sitam, Datuk Mong Dagang, Banyi Beriak, Dominique Ng dan Bruce Lee. 

  • oleh
  • Advertisement