Anda di sini

92 calon STPM di Sarawak capai PNGK 4.00

Advertisement
Pengetua SMK Batu Lintang Bakhtiar Afandi (tengah) bersama calon dari sekolah tersebut yang berjaya memperolehi gred A penuh dalam STPM 2018. - Gambar Chimon Upon
Pengetua SMK Batu Lintang Bakhtiar Afandi (tengah) bersama calon dari sekolah tersebut yang berjaya memperolehi gred A penuh dalam STPM 2018. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sarawak mencatat keputusan menggalakkan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 dengan 92 calon berjaya mencapai purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00. 

Manakala seramai 1,997 lagi calon mendapat PNGK 3.00 ke atas meningkat 4.25 peratus berbanding 1,726 calon pada STPM tahun 2017. 

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Azhar Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata prestasi keseluruhan keputusan STPM 2018 bagi Sarawak adalah memberangsangkan dengan PNGK 2.73 meningkat berbanding 2.64 pada tahun 2017. 

“Dari segi pencapaian mata pelajaran pula terdapat peningkatan yang amat ketara berbanding dengan tahun 2017 dalam  10 daripada 21 mata pelajaran yang diambil melibatkan Pengajian Perniagaan, Pengajian Am, Ekonomi, Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Syariah, Seni Visual, Bahasa Melayu, Geografi, Sejarah dan Bahasa Arab.  

“Malah dua calon Sarawak iaitu Kuan Kah Yee dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Padawan dan Connie Ong Hui May dari SMK Oya, Dalat telah memperoleh keputusan cemerlang dan dijemput menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang STPM 2018 peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur hari ini,” katanya. 

Dari segi pencapaian sekolah pula, sebanyak 28 buah sekolah telah mencapai keputusan STPM 2018 yang sangat memberangsangkan iaitu PNGK melebihi 2.80. 

SMK Chung Hua, Sibu mencatatkan keputusan terbaik bagi sekolah-sekolah Sarawak dengan PNGK 3.53 diikuti SMK Kampung Nangka, Sibu (PNGK 3.50) dan SMK Sacred Heart, Sibu (PNGK 3.46). 

Dalam pada itu seramai 5,479 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM di Sarawak pada tahun 2018 dengan 5,450 daripadanya merupakan calon sekolah menengah kebangsaan dan 29 orang lagi adalah calon persendirian. 

Daripada keseluruhan calon yang berdaftar, seramai 5,191 orang calon sekolah telah mendapat sijil STPM pada tahun 2018. 

Keputusan peperiksaan STPM 2018 bagi calon sekolah telah dihantar kepada semua pengetua sekolah manakala Majlis Peperiksaan Malaysia akan menghantar keputusan bagi calon persendirian melalui pos. 

Semua calon boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMSM) dengan menaip STPM <jarak> Result <jarak> No. Kad Pengenalan dan hantar ke 15888. 

Semakan juga boleh dibuat dengan melayari laman web Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di ww.mpm.edu.my bermula hari ini selepas jam 12 tengah hari. 
 

  • oleh
  • Advertisement