
SANDAKAN: Seorang wanita maut manakala suaminya parah apabila motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Batu 25 Jalan Sandakan petang Jumaat.
Dalam kejadian jam 5.30 petang, Nuryan Tamdahon, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Azhar Hamin berkata, hasil siasatan awal polis mendapati lori muatan kayu balak itu yang bergerak lurus dari arah Beluran menuju Sandakan telah terlanggar motosikal ditunggangi suami mangsa yang ketika itu keluar dari simpang di kanan jalan untuk memasuki laluan lori.
Katanya, ekoran perlanggaran itu, mangsa terjatuh dan badannya telah digilis kenderaan berat terbabit. Manakala, suami mangsa, Ben Gali, 48, yang parah telah dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk rawatan lanjut.
Mayat mangsa turut dibawa ke HDOK Sandakan untuk proses bedah siasat. Bagaimanapun, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mohd Azhar juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurwati Ismail melalui talian 010-9326155.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sandakan, Anddre Andrew berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri Sabah telah menerima panggilan kecemasan pada jam 5.37 petang melalui talian MERS999.
Katanya, sebuah jentera FRT dan jentera EMRS yang diketuai PBK II Arsad Kadir bersama enam anggota kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa yang tersepit dan seterusnya memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi berkenaan.