Anda di sini

Salur maklumat jika hadapi masalah kekurangan air

Advertisement

TUARAN: Penduduk kampung di daerah ini yang menghadapi masalah kekurangan atau kekeringan punca air diminta menyalurkan maklumat segera kepada Jawatankuasa Bencana Daerah.

Pegawai Daerah Tuaran merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair berkata, maklumat tersebut dapat membantu pihak jawatankuasa memberikan bantuan dengan segera.

"Saya berharap mereka yang terlibat dapat menyalurkan maklumat lengkap seperti jumlah keluarga, nombor telefon yang boleh dihubungi bagi memudahkan tugas kami membantu menangani masalah berkenaan.

"Setakat ini terdapat 11 kampung yang terlibat iaitu Kampung (Kg) Ulu Bakut Tamparuli, Kg Kapa Tamparuli, Kg Koporingan Tamparuli, Kg Ruhiang Tamparuli, Kg Minangkob Tamparuli, Kg Longkou Baru Kiulu, Kg Bukit Giling Tamparuli, Kg Penimbawan Tuaran, Kg Dopu, Kg Kalawat dan Kg Simpangan Lama, "ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian,
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata penghantaran bekalan air terawat telah mula dihantar pada 4 Mac lalu.

"Air terawat telah dihantar kepada 11 kampung tersebut oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

"Pihak Jabatan Air Sabah juga telah bersetuju untuk membuat pemasangan baharu stand paip di Kg Ulu Bakut, Kg Longkou Baru dan Kg Bulieng, Kg Rangalau Lama,"jelasnya.- Penerangan.

Advertisement