Anda di sini

Program Taman Angkat PDRM berkesan, akan diperluaskan

Advertisement

SANDAKAN: Program Taman Angkat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diperluas ke taman perumahan dan kampung lain berikutan hasil positif dalam mengurangkan jenayah di dua kawasan perumahan yang terlibat dalam program itu, terutamanya di Sandakan.

Ketua Polis Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin berkata dua taman angkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, yang menjadi taman angkat IPD Sandakan pada 30 Ogos lepas, dan PPR Harmoni (7 Jan lepas) di sini berjaya mengurangkan kadar jenayah di kawasan berkenaan.

“Malah, tiada lagi kes dilaporkan sejak dua taman ini dijadikan taman angkat.

“Ini kerana pihak polis berpuas hati kerana mendapat kerjasama penduduk untuk menurunkan kadar jenayah. Jadi, program ini perlu diperluaskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampung Tinusa 2 di sini sebagai kampung angkat IPD Sandakan semalam.

Menurut Mohd Azhar, program itu akan mengenal pasti kawasan panas aktiviti jenayah seperti penyalahgunaan dadah dan gejala sosial, untuk dijadikan taman atau kampung angkat.

Jelasnya, taman atau kampung angkat akan dibekalkan dengan peti polis bagi kemudahan penduduk menyalurkan maklumat dan melantik pegawai perhubungan di IPD Sandakan untuk memudahkan urusan dengan ketua taman atau kampung.

Mengenai Kampung Tinusa 2, Mohd Azhar berkata kampung itu, yang mempunyai hampir 1,000 rumah, adalah antara lima kampung yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti jenayah di Sandakan.

Empat kampung lagi ialah Kampung Forest, Kampung Mangkalinau, Kampung Letat dan Kampung Sim-Sim.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azhar berkata polis Sandakan telah menjalankan Operasi Sarang di Kampung Forest dan Kampung Mangkalinau di sini semalam dan berjaya menahan seorang lelaki kerana memiliki dadah dan 20 lagi kerana mengambil dadah.

Beliau berkata polis Sandakan akan terus menjalankan usaha membanteras aktiviti dadah di daerah ini. — Bernama

Advertisement