Anda di sini

Operasi pembanterasan dadah diperhebat

Advertisement
AZIS bersama Habibi meninjau tangkapan suspek terlibat penyalahgunaan dadah di penempatan setinggan.
AZIS bersama Habibi meninjau tangkapan suspek terlibat penyalahgunaan dadah di penempatan setinggan.

KOTA KINABALU: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam usaha memperhebat operasi pembanterasan dadah dalam usaha mengesan serta mengenalpasti dalang utama rangkaian penyeludupan dadah di sini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata operasi yang dilaksanakan setiap minggu bukan hanya bertujuan untuk membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan sekitar sini malah pada masa sama salah satu usaha mengesan punca dadah diperoleh.

“Usaha pembanterasan akan terus dijalankan bagi mengenalpasti rangkaian besar yang bukan hanya dalang tempatan malahan juga suspek di luar negara.

“Kita akan pastikan ‘Jerung Besar’ ini akan ditahan dan semestinya usaha ini tidaklah mudah dan kita memerlukan usaha bersama daripada orang ramai untuk bersama-sama melaporkan kegiatan jenayah terutamanya dadah di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjalankan Ops Sarang di kawasan setinggan berhampiran Kampung Cenderakasih Likas hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan bertegas dengan sebarang perlakuan jenayah tertamanya berkaitan dengan aktiviti dadah.

“Mana-mana kawasan atau perumahan setinggan yang dikenalpasti menyimpan serta melakukan aktiviti pengedaran dadah kita akan menjalankan penangkapan seterusnya merobohkan struktur rumah yang digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Operasi yang akan berterusan dari semasa ke semasa ini juga bertujuan membersihkan kawasan Sepanggar yang dikenalpasti sebagai Pusat Pentadbiran Negeri Sabah dan kita tidak mahu kawasan ini turut dikenali sebagai kawasan pengedaran dadah yang aktif,” katanya.

Dalam operasi ini seramai 25 lelaki berumur 16 hingga 63 tahun berjaya diberkas sepasukan anggota yang dilaksanakan lima pegawai dan 46 anggota polis.

Kesemua suspek yang ditahan termasuk enam warga asing didapati terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah selepas ujian air kencing mereka positif dadah jenis syabu.

Pasukan serbuan turut merampas lapan gram syabu sepanjang operasi dijalankan.

  • oleh
  • Advertisement