Anda di sini

Larangan merokok: 53 peratus premis makanan telah diperiksa

Advertisement
PENGUATKUASAAN pendidikan kepada pelanggan di premis makanan sekitar Harbour Square.
PENGUATKUASAAN pendidikan kepada pelanggan di premis makanan sekitar Harbour Square.

SANDAKAN: Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan telah memeriksa dan melaksanakan penguatkuasaan pendidikan mengenai larangan merokok di 53 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang ada di daerah ini.

Pegawainya, Dr. Johari Awang Besar berkata dalam tempoh pelaksanaan penguatkuasaan pendidikan sejak 1 Februari lalu, pihaknya juga telah mengeluarkan 20 notis amaran kepada perokok yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Dalam tempoh itu juga, beliau berkata sebanyak 244 sesi penerangan secara bersemuka telah diadakan dan 250 bahan cetak telah diedarkan kepada pemilik premis dan masyarakat setempat.

"Kita akan meneruskan penguatkuasaan pendidikan ini di semua premis makanan sehingga 30 Jun sebelum penguatkuasaan berkuatkuasa bermula 1 Julai.

"Dalam tempoh ini, kita meminta kerjasama pemilik premis makanan agar memastikan papan tanda larangan merokok yang mengikut spesifikasi telah dilekat dalam premis.

"Pemilik juga perlu berani memberi nasihat dan mencegah mana-mana pelanggan yang merokok di premis mereka. Kalau ada papan tanda, ia tidak menjadi isu untuk pelanggan cakap tidak tahu mengenai larangan merokok ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan Operasi Memeriksa Premis Makanan di Harbour Square, Bandar Sandakan di sini pada malam Jumaat.

Operasi pada malam itu disertai seramai 25 orang kakitangan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan.

Dr. Johari berkata penguatkuasaan pendidikan seumpama telah dilakukan di premis makanan sekitar Batu 8 hingga Bandar Sandakan bagi mempromosi beberapa perkara iaitu penyediaan papan tanda larangan merokok, pendidikan kepada pemilik premis dan juga masyarakat.

Advertisement