Anda di sini

Kerajaan hargai usaha martabatkan bahasa ibunda menerusi penerbitan buku

Advertisement
EWON menerima buku itu daripada Dr.Rosliah.
EWON menerima buku itu daripada Dr.Rosliah.

TANJUNG MALIM: Kerajaan Sabah sentiasa menghargai usaha memartabatkan bahasa ibunda melalui penulisan dan penerbitan buku, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, usaha  untuk memartabatkan bahasa ibunda etnik-etnik Sabah sama penting dengan memperkasakan diri melalui penguasaan bahasa antarabangsa dan bahasa kebangsaan.

“Sebab itu, sejak dahulu saya konsisten memberi sokongan ke atas usaha yang diambil oleh pelbagai pihak terutamanya para pensyarah, guru dan mahasiswa bagi memperkasakan Bahasa Kadazan Dusun yang menjadi salah satu subjek dalam sistem pendidikan negara.

"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Dr Rosliah Kiting, Pensyarah Pengajian Bahasa Kadazan Dusun di Universiti Pendidikan Sultan Idris Perak (UPSI) kerana berjaya menghimpunkan 57 karya cerita etnik Kadazan Dusun dari seluruh Sabah dan dibukukan.

“Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada penerbitan buku ini dan berharap lebih banyak lagi usaha sebegini dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan para pensyarah dan mahasiswa pengajian Bahasan Kadazan Dusun di UPSI.

Dalam perjumpaan tersebut, Dr Rosliah menyampaikan buku Tangga Burisan om Tangon Kadazan Dusun kepada Ewon sebagai simbolik pelancaran.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian dan Naib Presiden Upko menyumbangkan peruntukan khas touchpoints sebanyak RM10,000 pada tahun lalu bagi membiayai kos penerbitan buku tersebut.

Advertisement