KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini, semalam.
Sultan Abdullah tiba di MUIS pada jam 9.55 pagi dan turut mengiringi keberangkatan Baginda ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Keberangkatan tiba Sultan Abdullah dimulakan dengan sesi taklimat disampaikan oleh Yang Dipertua MUIS Datuk Dr Hasbullah Taha dan diikuti acara santapan.
Baginda meluangkan masa selama sejam di MUIS dan selepas acara santapan Sultan Abdullah berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Kota Kinabalu.
Semalam pada majlis berasingan, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berangkat melawat Galeri Artisan iaitu Galeri Batik Sabah pada jam 10 pagi di Menara Tun Mustapha, Jalan Sulaman.
Ini adalah lawatan sulung baginda berdua ke Sabah setelah Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lepas.
Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Pahang dan negeri-negeri tidak beraja iaitu Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.
Baginda berdua dijadual berlepas ke Kuala Lumpur jam 4 petang semalam selepas lawatan dua hari di sini.
Lawatan ke Sabah adalah inisiatif Yang di-Pertuan Agong sendiri, dan akan dilaksanakan secara bergilir antara Sabah dan Sarawak untuk memperkukuh ikatan silaturahim dengan penduduk di kedua-dua negeri itu. — Bernama