Anda di sini

Mayat lelaki dilapor hilang dibaham buaya ditemukan terapung

Advertisement
MAYAT mangsa tiba di lokasi operasi.
MAYAT mangsa tiba di lokasi operasi.

KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika sedang menjala udang di Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Tanjung Bulat pada malam Khamis, dijumpai terapung tidak jauh dari lokasi mangsa hilang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Zon Sandakan, Kapten Ahmad Roslan Mohd Kanel berkata mangsa dikenali sebagai Abdurahman Norsirat, 40, dari Kampung Usaha Jaya merupakan ahli sukarelawan APM Kinabatangan.

“Mayat mangsa ditemukan berhampiran tebing sungai dalam jarak 1 kilometer dari lokasi kejadian kira-kira jam 3.25 petang oleh anggota APM yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa ketika ditemui kelihatan sedang dikawal oleh buaya yang dipercayai membahamnya. 

“Anggota operasi sedang mengambil langkah berhati-hati bagi mengambil mayat mangsa ekoran ada buaya berhampiran mayat berkenaan,” katanya.

Ahmad Roslan berkata pihaknya terpaksa mengambil masa dalam 30 minit untuk menghalau buaya yang berdekatan mayat mangsa.

“Reptelia itu kelihatan berukuran kira-kira 19 kaki panjang dan telah beralih (lari) dari mayat mangsa,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya berjaya dinaikkan ke dalam bot APM sebelum dibawa balik ke pusat operasi mencari dan menyelamat.

“Mayat mangsa ketika ditemui dalam keadaan tidak lengkap ekoran tiada kaki sebelah kiri dan tiada tangan sebelah kanan,” katanya.

Ahmad Roslan berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sandakan, Anddre Andrew berkata pihaknya di Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan telah menerima panggilan kecemasan jam 8.44 malam berhubung kejadian itu.

“Sebuah jentera yang diketuai oleh PBK II David Wong telah bergegas ke lokasi kejadian di Kampung Sinar Jaya yang terletak 14 kilometer dari balai bomba,” katanya.

Menurut maklumat dari orang awam, mangsa dipercayai telah dibaham buaya ketika sedang menjala udang bersama sepupunya di tebing sungai.

Anddre berkata setelah mendapat maklumat lanjut sejurus tiba di lokasi kejadian, pihaknya kemudiannya menjalankan operasi pencarian secara pemantaua dari tebing sungai tersebut.

“Operasi pencarian ditangguhkan jam 10.35 malam Khamis dan disambung bermula pagi tadi (Jumaat) sebelum mayat mangsa ditemukan pada sebelah petang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement