Anda di sini

Maher Zain janjikan persembahan menarik konsert jelajah Malaysia

Advertisement
 Maher Zain (dua kanan) bersama  Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB Group Rafe Haneef (dua kiri), Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan CIMB Group Mohamed Adam Wee Abdullah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyEvents International Shahul Hameed Dawood di acara dan sidang media ‘In Conversation With Maher Zain menjelang Maher Zain Malaysia Tour 2019 semalam. — Gambar Bernama
UNTUK ALBUM: Maher Zain (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB Group Rafe Haneef (dua kiri), Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan CIMB Group Mohamed Adam Wee Abdullah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyEvents International Shahul Hameed Dawood di acara dan sidang media ‘In Conversation With Maher Zain menjelang Maher Zain Malaysia Tour 2019 semalam. — Gambar Bernama

PENYANYI dan penggubah lagu warga Sweden, Maher Zain, menjanjikan persembahan menarik dalam konsertnya di empat negeri di Malaysia, bermula dengan konsert pertamanya di Kuala Lumpur pada 9 Mac.

Maher, yang berasal dari Lubnan, berkata konsert jelajah Malaysia, bagai impian menjadi kenyataan baginya kerana beliau memang berharap dapat kembali ke Malaysia untuk membuat persembahan.

“Saya tidak mengatakan ini kerana ramai yang berkata ia hanya soal media tetapi saya benar-benar mencintai Malaysia malah sebelum saya dikenali sebagai Maher Zain. Jadi, saya berasa amat berbangga untuk kembali ke Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Maher Zain yang terkenal dengan lagu InsyaAllah, For The Rest Of My Life dan Thank You Allah merupakan penyanyi Islam paling popular di Facebook dan yang paling ditonton di YouTube dengan 5.8 bilion penonton setakat ini.

Beliau berharap peminatnya di Malaysia akan terus mendapat insipirasi melalui mesej yang disampaikan dalam lagunya mengenai Islam.

Konsert itu dibawa oleh CIMB Islamic Bank Berhad dan dianjurkan oleh New Catalysts Resources dan MyEvents International dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Sinar Harian sebagai rakan kongsi media rasmi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran CIMB Group Mohamed Adam Wee Abdullah berkata jati diri Maher merupakan cerminan komitmen CIMB Islamic terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan agenda kelestarian, yang termasuk inisiatif seperti pembiayaan program keusahawanan bagi projek-projek pemuliharaan alam sekitar berimpak tinggi.

Beliau berkata CIMB melabur 39 peratus dana CSRnya kepada pembangunan masyarakat untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan mereka.

Konsert yang dijangka dihadiri 50,000 peminat akan bermula di Axiata Arena pada 9 Mac, diikuti dengan stadium Pasir Gudang Corporation di Johor Bahru pada 15 Mac. Spice Arena di Pulau Pinang pula pada 16 Mac dan kemudiannya di Universiti Malaysia di Kota Kinabalu pada 17 Mac.

Tiket boleh didapati di www.tixmalaysia.com. Maklumat lanjut mengenai konsert jelajah ini boleh didapati dengan melayari Facebook, MaherZainMYTour2019. — Bernama

Advertisement