Anda di sini

Ketidakseimbangan gender pelajar di IPT merunsingkan

Advertisement
STEPHEN (tengah) bersama tetamu kehormat lain memotong kek sempena sambutan Hari Antarabngsa Wanita.
STEPHEN (tengah) bersama tetamu kehormat lain memotong kek sempena sambutan Hari Antarabngsa Wanita.

KOTA KINABALU: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan rakyat, Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata, ketidakseimbangan gender pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini dilihat semakin merunsingkan. 

Beliau berkata,  rata-rata nisbah kemasukan pelajar lelaki dan perempuan ke IPT adalah antara 40-60, 30-70 dan difahamkan ada IPT di mana nisbahnya adalah 25-75.  

"Isu ini berlaku sudah sekian lama, namun topik ini amat jarang diangkat untuk dibincangkan secara mendalam," katanya ketika merasmikan Persidangan Kesejahteraan Wanita Dan Undang-Undang sempena Hari Wanita Antarabangsa, di Wisma Wanita di sini.

Stephen berkata, dalam Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) yang berlangsung di Universiti Malaya, Naib Canselor UM, Tan Sri Profesor Dr Mohd Amin Jalaluddin, telah menyatakan bahawa, jika tidak ditangani solusi ketidakseimbangan gender pelajar IPT, ia akan memberi impak besar kepada sosio-ekonomi dan psikologi masyarakat, khususnya kepada institusi keluarga di mana lelaki lazimnya merupakan ketua keluarga. 

"Apatah lagi, senario masa kini ramai pelajar perempuan semakin berani berdikari dengan adanya pendidikan tinggi, sehingga berani melakukan perubahan dalam menceburi bidang-bidang yang dahulunya didominasi oleh pelajar lelaki seperti bidang kejuruteraan.

Kebolehan dan kemampuan wanita dalam kerjaya semakin menakjubkan, malahan lebih baik prestasinya berbanding lelaki dalam sesetengah situasi," katanya.

Stephen berkata,  fenomena ketidakseimbangan gender pelajar IPT berlaku antaranya adalah kerana faktor sistem pendidikan Malaysia yang berorientasikan peperiksaan.  

Katanya, sistem peperiksaan memberi kelebihan kepada majoriti pelajar perempuan yang berkebolehan menghafal, lebih fokus dan mempunyai kekuatan dalam subjek teori.  

Manakala pelajar lelaki masa kini lebih cenderung kepada perkara-perkara teknikal dan kemahiran yang dipelajari secara praktikal. 

Katanya, kemasukan pelajar ke IPT yang diambilkira dari segi meritrokrasi dengan meletakkan 90 peratus bagi kecemerlangan akademik, dan 10 peratus bagi penglibatan dalam bidang kokurikulum juga tidak membantu bagi menambah bilangan kemasukan pelajar lelaki ke IPT disebabkan pelajar perempuan turut aktif dalam pelbagai aktiviti di sekolah.  

Selain itu, katanya pelajar lelaki mengambil keputusan untuk bekerja awal tanpa melanjutkan pengajian ke IPT kerana ekspektasi gender masyarakat bahawa lelaki merupakan penjana pendapatan keluarga. 

Justeru, katanya perbincangan dalam program Advokasi Ilmuwan MPN berpendapat bahawa mungkin sistem quota boleh dilaksanakan bagi kemasukan pelajar ke IPT.      

"Kedua, sistem pembelajaran di peringkat sekolah rendah hingga menengah perlu ditingkatkan kualitinya," katanya.

  • oleh
  • Advertisement