Anda di sini

Ekopelancongan harapan penduduk di Krayan

Advertisement
LEWI
LEWI
 Penyediaan nuba laya’ oleh wanita Lun Dayeh di salah sebuah rumah penginapan di Long Layu.
MAKANAN TRADISI: Penyediaan nuba laya’ oleh wanita Lun Dayeh di salah sebuah rumah penginapan di Long Layu.
 Wanita Lun Dayeh sedang mempersembahkan tarian tradisional.
BUDAYA: Wanita Lun Dayeh sedang mempersembahkan tarian tradisional.
 Ukiran batu oleh manusia zaman batu atau Paro’u Ateng di Pa Upan.
UNIK: Ukiran batu oleh manusia zaman batu atau Paro’u Ateng di Pa Upan.

SIRI AKHIR

MELIHAT keindahan alam semula jadi, peninggalan sejarah serta masyarakat tempatan yang masih mengekalkan gaya hidup tradisi, Krayan mempunyai potensi besar dalam kegiatan ekopelancongan.

Kini, penduduk Krayan menjadikan ekopelancongan sebagai salah satu alternatif ekonomi yang dapat mengekalkan kelestarian alam semula jadi dan budaya masyarakat setempat.

Pada masa sama, menyumbang sumber pendapatan melalui jualan kraf tangan, hasil pertanian, inap desa dan khidmat pemandu pelancong.

Krayan bukan hanya dikenali sebagai pengeluar terbesar beras adan di daerah Nunukan sehingga dijual ke Malaysia dan Brunei, malah sebahagian kawasannya terletak di dataran tanah tinggi Heart of Borneo (HoB).

HoB adalah kerjasama rentas sempadan di Borneo antara Malaysia, Indonesia dan Brunei untuk mengurus serta memulihara hutan hujan.

Ekopelancongan di sini bermula sekitar tahun 2001 dengan kerjasama Tabung Alam Sekitar Sedunia (WWF) Indonesia.

Tarikan utama di sini ialah Taman Nasional Kayan Mentarang (TNKM) yang mempunyai keluasan 1.3605 juta hektar dan merupakan hutan primer dan hutan sekunder tua yang terbesar di Asia Tenggara.

Hutan Kayan Mentarang kaya dengan kepelbagaian bio antaranya jenis mamalia yang sukar ditemui seperti harimau dahan, beruang madu dan banteng atau tembadau.

Terdapat sekitar 100 jenis mamalia termasuk 15 jenis spesies endermik Kalimantan, lapan jenis binatang primat dan lebih 310 jenis burung dengan 28 jenis antaranya endermik Kalimantan dan didaftarkan oleh ICBP (International Committeefor Bird Protection), selain spesies flora dan fauna yang beraneka ragam.

Manakala sungai yang mengalir di kawasan ini seperti Sungau Bahau, Sungai Kayan dan Sungai Mentarang menjadi pengangkutan utama penduduk di Krayan sebelum adanya akses jalan darat.

Kira-kira 21,000 penduduk tinggal di sekitar kawasan taman ini terdiri daripada kaum Lun Dayeh, Punan, Sa’aban, Kayan dan Kenyah.

Selain itu, peninggalan arkeologi seperti kubur batu di Sungai Kuyur dipercayai peninggalan nenek moyang berusia ratusan tahun dan serpihan tempayan seramik dan tempayan batu mengandungi tulang manusia di Long Per.

Ekopelancongan di sini menawarkan pengalaman kepada pelancong yang mahu mendalami aktiviti harian mereka seperti kegiatan menanam padi, pemprosesan garam gunung, menangkap ikan, penyediaan makanan tempatan seperti nuba laya’ (nasi bungkus), budaya dan hasil kraf tangan di Krayan.

Pelancong yang tinggal di inap desa dihidangkan dengan sayur-sayuran hutan dan sayuran yang ditanam secara organik, ikan atau daging yang diperolehi dengan kaedah tradisional.

Selain itu, trekking hutan di Batu Sicen di Long Rungan, menghayati pemandangan menarik sepanjang tebing Giram yang menempatkan ukiran batu oleh manusia zaman batu atau Paro’u Ateng di Pa Upan dan trekking rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Banyak desa di Krayan menyediakan inap desa selain penginapan di pusat pentadbiran di Long Bawan.

Satu cara yang paling mudah datang ke sini ialah melalui Ba’ Kelalan melalui Pos Lintas Batas Indonesia – Malaysia di Long Midang. Dianggarkan 100 pelawat menggunakan laluan ini setiap hari.

Setakat ini, ekopelancongan di Krayan dikelolakan oleh Forum Masyarakat Adat Dataran Tinggi Borneo (FORMADAT) atau dalam bahasa tempatan “Patar Tana’ Dita’ Borneo” melibatkan komuniti tempatan di beberapa desa antaranya Long Layu, Long Rungan dan Pa Upan.

FORMADAT meliputi satu wilayah yang diuruskan dua negara iaitu Indonesia (daerah kecil Krayan dan Krayan Selatan, daerah Nunukan Kalimantan Timur) dan Sarawak (Bario, Ba’ Kelalan/Long Semadoh) dan Sabah (Long Pa’ Sia) Malaysia, namun masyarakatnya adalah dari satu rumpun.

Objektif FORMADAT ialah membangunkan dataran tinggi HoB secara lestari mencakupi aktiviti pertanian, pemeliharaan kawasan tadahan air dan pengurusan hutan yang tidak mengancam flora dan fauna.

Mereka bekerjasama dan berkongsi pengetahuan dengan organisasi seperti pihak kerajaan, agensi pelancongan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti WWF Indonesia dan WWF Malaysia.

Ketua FORMADAT Indonesia Lewi Gala berkata, tujuan utama ekopelancongan untuk memelihara dan melindungi alam semula jadi di Krayan khususnya di kawasan HoB di Krayan Tengah dan Krayan Selatan berasaskan komuniti.

“Hutan di Krayan masih terpelihara sepenuhnya, sedikit pun tidak rosak. Kayu-kayu balak yang tumbuh menjulang tinggi itu sudah ada sejak nenek moyang kami, ia hanya boleh dilihat tetapi tidak boleh ditebang.

“Ekopelancongan membolehkan kami mengekalkan hutan agar pelancong tahu pentingnya perlindungan dan penghargaan terhadap budaya komuniti tempatan,”katanya.

Belia menambah, penduduk di Krayan menyambut baik aktiviti ekopelancongan kerana ia ibarat serampang dua mata yang membawa manfaat kepada pelestarian alam semula jadi dan meningkat taraf hidup mereka.

“Komuniti sedar hutan adalah aset penting untuk ekopelancongan, keperluan harian seperti sumber makanan, sumber bahan untuk membina rumah serta bahan asas kraf tangan.

“Justeru komuniti Krayan tidak akan membuka kawasan hutan untuk tanam ladang sawit. Kami hanya mahu jalan raya untuk menghubungkan dengan bandar utama di Kalimantan,” kata Lewi.

Meskipun potensi ekopelancongan di Krayan terbentang luas seluas Kayan Mentarang, namun sukar untuk memajukan sektor itu tanpa kerjasama daripada negara luar.

Bahkan berbanding mana-mana kawasan di Kalimantan, kegiatan ekopelancongan di Krayan masih jauh tertinggal di belakang.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan untuk menarik pelancong, namun ia belum memadai untuk menjadikan ekopelancongan salah satu sumber ekonomi yang utama.

Walaupun terdapat pelancong dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Eropah, Australia selain Malaysia, namun kurangnya promosi dan masalah akses menyebabkan kegiatan ekopelancongan di sini seolah-olah tidak wujud.

Katanya, kerajaan tidak memainkan peranan aktif dalam memberikan dana dan latihan kepada pengusaha ekopelancongan di sini, khususnya berkaitan inap desa dan pemandu pelancong.

“Berbanding di Jakarta mereka mempunyai pejabat dan program latihan sepanjang masa. Malah di daerah Balikpapan yang sememangnya sudah mempunyai ramai pelancong pun memiliki pejabat untuk membantu kegiatan ekopelancongan.

“Jika ada pun di Kalimantan Timur mungkin baru dilaksanakan di Nunukan. Saya melihat pihak di Jakarta tidak ambil peduli untuk membangunkan ekopelancongan di Krayan,” katanya.

Tambahnya, ketiadaan sokongan dalam bentuk dana menyukarkan mereka untuk membiayai latihan dan kursus. Ini menyebabkan komuniti masih cetek pengetahuan dalam kegiatan ekopelancongan.

“Jakarta sangat jauh dan untuk ke sana perlu menaiki pesawat. Sedangkan ke Malaysia, kami boleh berjalan kaki ke Ba’ Kelalan. Saya berfikir, lebih baik belajar di Malaysia berbanding di Indonesia,” katanya lagi.

Justeru katanya, mereka bekerjasama dengan pihak FORMADAT Malaysia kerana kegiatan ekopelancongan di negara itu sudah lama berkembang selain mempunyai banyak pengalaman.

Beliau berharap agar FORMADAT Malaysia akan terus bergembleng tenaga dalam mempromosi dan berkongsi pengetahuan berkaitan ekopelancongan pada masa hadapan.

Menurut Lewi, Krayan mempunyai hubungan yang amat baik dengan FORMADAT Malaysia dan berharap ia akan diteruskan atas semangat satu rumpun dan manfaat kedua-dua belah pihak.

“Namun pada masa sama, kami masih berharap sokongan daripada kerajaan Indonesia. Selagi mereka tidak bersungguh-sungguh membantu, pembangunan ekopelancongan di Krayan akan terus bergantung dengan Malaysia selama-lamanya,” kata Lewi.

  • oleh
  • Advertisement