Anda di sini

Anita wakil rakyat pertama PBS menyertai WARISAN

Advertisement
 Anita (enam kanan) menyerahkan borang keahlian WARISAN kepada Shafie.
SEJARAH: Anita (enam kanan) menyerahkan borang keahlian WARISAN kepada Shafie.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Anita Baranting  menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk meneruskan khidmatnya membantu kerajaan dan rakyat yang diwakilinya.

Beliau merupakan wakil rakyat pertama dari PBS meninggalkan parti itu yang menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal merangkap Ketua Menteri Sabah, di bangunan Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) kelmarin.

Anita yang juga bekas ketua Wanita PBS membawa kira-kira 50 rakan dari Kota Marudu yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, termasuk pemimpin parti UMNO, GERAKAN dan MCA.

“Mereka ini adalah sebahagian besar daripada Ahli Jawatankuasa Jentera Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang kemudiannya kami namakan kumpulan ini sebagai ‘Squad Tandek’. Kami akan berjuang bersama Parti WARISAN selepas ini,” katanya.

Anita merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Shafie kerana telah menerima beliau dan rakannya untuk menyertai WARISAN.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam PBS iaitu sebagai ketua wanita parti dan timbalan ketua bahagian PBS Tandek.

Katanya, keputusan utntuk menyertai WARISAN adalah atas kerelaan hatinya sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Kami mengambil keputusan untuk menyertai WARISAN kerana ia adalah parti pemerintah di Negeri Sabah pada hari ini.

“Kami mahu meneruskan khidmat untuk membantu kerajaan dalam semua aspek pembangunan di negeri ini secara amnya dan khususnya di kawasan saya agar rakyat dapat menikmati pembangunan yang berterusan.

“Atas dasar peduli rakyat dan tidak mahu meremehkan masa yang baik untuk berkhidmat kepada rakyat, kami bersedia untuk mengerahkan kudrat untuk menggerakkan segala kemampuan dan tenaga menyatupadukan rakyat agar relevan di hati rakyat,” katanya.

Sementara itu, Shafie menyifatkan keputusan Anita menyertai WARISAN satu sejarah di Sabah atas keinginan mahu melihat satu landasan iaitu parti WARISAN tempatan di negeri ini.

Beliau ingin melihat satu kesatuan tanpa mengira bangsa dan agama unuk bersatu bagi memastikan supaya mereka boleh membangunkan negeri Sabah.

“Kurangkan berpolitik. Kita mahukan supaya rakyat yang dahagakan perkhidmatan dan bantuan dapat kita tingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Turut hadir, Naib Presiden Warisan Datuk Jaujan Sambakiong, Datuk Junz Wong, Datuk Peter Anthony dan Datuk Aidi Mokhtar dan Datuk Dr Yusof Yaacob.

Advertisement