Anda di sini

32 ditahan dalam Ops Sarang

Advertisement
MOHD Azhar menyampaikan peti lawatan polis kepada Hamid.
MOHD Azhar menyampaikan peti lawatan polis kepada Hamid.

SANDAKAN: Seramai 32 individu ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dalam Ops Sarang di dua lokasi bermula jam 1 petang hingga 8.30 malam pada Khamis.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azhar Hamin berkata serbuan dan pemeriksaan dijalankan di Kampung Forest dan Kampung Mangkalinau.

“Seramai tiga pegawai dan 25 anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan yang diketuai oleh Asisten Superintendan (ASP) Kanthan Vivekhanantam terlibat dalam Ops Sarang,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menahan 32 orang dalam operasi itu yang mana satu kes terlibat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah jenis syabu dan 20 kes lagi di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952, memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.

“Dalam pemeriksaan itu juga, seramai 23 orang memiliki dokumen pengenalan diri (MyKad), seorang tiada dokumen, lima menggunakan IMM 13 dan tiga lagi sijil lahir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program High Profile Policing (HPP) Ketua Polis Daerah Sandakan di Rumah Ketua Kampung Tinusa Batu 7, pagi tadi.

Beliau berkata Ops Sarang ini akan dijalankan secara berterusan dalam usaha membanteras kegiatan dadah di daerah ini.

Mengenai program kampung angkat ini, Mohd Azhar meminta penduduk Kampung Tinusa Dua agar memberi kerajasama yang baik serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam memastikan keselamatan dan pencegahan jenayah dapat kawal.

“Pihaknya akan melantik seorang pegawai perhubungan bagi berhubung dengan Ketua Kampung dan masyarakat.

"Peti maklumat polis juga turut diletakkan di kampung ini bagi memudahkan penduduk menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata terdapat hampir 1,000 buah rumah di kampung ini dan terdapat juga di kampung Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang boleh membantu pihak polis dalam pencegahan jenayah.

“ Program Taman Angkat ini telah dijalankan di Taman Program Perumahan Rakyat (PPR) Harmoni dan Taman PPR Sungai Manila.

"Setakat ini penduduk di taman itu amat memberi kerjasama baik kepada pihak polis dan tiada sebarang kegiatan jenayah berlaku di dua lokasi berkenaan,” katanya.

Mohd Azhar memberitahu terdapat lima buah kampung dalam senarai hotspot iaitu Kampung Tinusa Dua, Kampung Mangkalinau, Kampung Forest, Kampung Letat dan Kampung Sim-Sim yang kesemuanya perkampung itu terletak di atas air.

Turut hadir, Ketua Kampung Tinusa Dua Hamid Usama, Pemaju Mukim Sungai Sibuga Mohd Jaidie Abdul Marup dan pegawai kanan polis.

  • oleh
  • Advertisement