Anda di sini

SESB rugi RM220 ribu akibat kecurian elektrik, babit 11 premis 

Advertisement
SHAFIE (tiga kiri) menunjukkan teknik usikan meter elektrik oleh pelaku sambil mempamerkan kesemua alat rampasan yang lain. Turut kelihatan Norhizami (dua kiri).
SHAFIE (tiga kiri) menunjukkan teknik usikan meter elektrik oleh pelaku sambil mempamerkan kesemua alat rampasan yang lain. Turut kelihatan Norhizami (dua kiri).

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengalami kerugian kira-kira RM220,000 membabitkan kes kecurian elektrik di 11 premis di sekitar bandaraya ini. 

Pengurus Besar (K) Pengurusan Aset SESB Ir Norhizami Abu Hasan berkata, kesemua premis masing-masing didapati melakukan kesalahan itu dalam tempoh berbeza iaitu empat hingga 30 bulan.

"Hasil operasi yang dijalankan pada 5 hingga 6 Mac lepas mendapati 11 premis terdiri kedai serbaneka, penyimpanan sejuk beku dan kedai urut sudah melakukan pintasan serta pengusikan pada meter elektrik. 

"Untuk itu, tindakan boleh dikenakan terhadap mereka di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 iaitu denda maksimum sehingga RM5 juta dan dan penjara tidak lebih 10 tahun," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media susulan Operasi Bersepadu SESB dan Suruhanjaya Tenaga (ST) di sekitar Lok Kawi, Kota Kinabalu, Inanam dan Penampang, di sini. 

Jelas Norhizami, pihaknya melaksanakan operasi membanteras kegiatan usikan elektrik terbabit mengikut kaedah berdasarkan laporan kejanggalan, laporan awam dan seterusnya kaedah serbuan. 

"Sememangnya, operasi cegah curi arus elektrik kali ini kita laksanakan secara terperinci dari semasa ke semasa di semua kawasan di Sabah termasuk Labuan. 

"Daripada laporan diterima, kita seterusnya membuat pemantauan sebelum operasi dan tangkapan dibuat," katanya. 

Dalam topik berasingan, Timbalan Pengarah Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan ST Ir Shafie Mohamed berkata, pihaknya belum membuat sebarang penilaian berkaitan sejauh mana tahap keberkesanan gajet penjimatan elektrik. 

Atas sebab itu, katanya, alat terbabit tidak menjadi kesalahan memandangkan ia tidak merosakkan rekod meter elektrik. 

"Kita masih belum menilai cara penjimatan gajet itu, cuma kadang-kadang pengguna ini ditawarkan oleh orang tertentu mengatakan ia boleh menjimatkan. 

"Bagaimanapun, ada pengguna yang tidak tahu kegunaannya dan ada pihak mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan ini sehingga menimbulkan unsur kecurian," katanya.

  • oleh
  • Advertisement