Anda di sini

Penduduk sambut baik penyertaan Anita ke dalam Warisan

Advertisement
DG ANNA
DG ANNA

KOTA MARUDU: Penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek Datuk Anita Baranting ke dalam Parti Warisan Sabah dialu-alukan masyarakat di sini dengan menyifatkannya sebagai sudah lama ditunggu-tunggu.

Tinjauan di Pekan Kota Marudu menyatakan kemasukan Anita ke dalam Warisan dapat memenuhi keperluan rakyat yang kebanyakannya masih hidup dalam keadaan daif dan tertinggal.

“Selama dua penggal menjadi wakil rakyat, Anita amat disenangi penduduk kerana mudah didekati untuk mendapatkan bantuan khususnya rakyat yang susah,” kata Mohd Din Dayong.

Pesara kerajaan berasal dari Rasak Laut itu menyatakan secara peribadi beliau sendiri menyaksikan bagaimana Anita memberi perkhidmatan kepada rakyat termasuk kebajikan masyarakat Islam ketika ibadah puasa dan Hari Raya.

Mustin @Yahya Tambul dari Kg Mosolog berpendapat kemasukan Anita ke dalam Warisan dapat membantu rakyat Tandek keluar dari ketertinggalan dan kemiskinan.

“Tiada soal mengkhianati mandat rakyat kerana peranan Anita membantu rakyat lebih berkesan jika bersama kerajaan,” katanya.

Menurut beliau rakyat menaruh harapan agar Anita dapat membantu dari segi pengurusan tanah penduduk setelah pembatalan geran komunal oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dayang Anna Datu Kassim, penjaja kecil di sini, amat berbesar hati dengan penyertaan Anita kerana sebagai pengundi kawasan Tandek pihaknya telah melihat khidmat bakti Anita sehingga memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya lalu.

“Saya berharap penyertaan Anita akan dapat memperkukuhkan kerajaan Warisan untuk menuntut hak MA63 demi kepentingan rakyat,” katanya.

Aktivitis masyarakat Anthony Wong Su Fui berpendapat keputusan Anita menyertai Warisan merupakan langkah bijak dan mampu mengubah senario politik khususnya akar umbi parti asalnya, Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Moga penyertaan Anita mendapat kerjasama pelbagai pihak untuk menggerakkan jentera pembangunan di Kota Marudu,” katanya sambil menambah, penyertaan itu adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan peribadi.

MOHD DIN
MOHD DIN

Pengusaha salon, Suini Kait berkata banyak pembangunan di Tandek dapat Anita lakukan dalam parti kerajaan di samping banyak projek masyarakat terbengkalai dapat diteruskan.

Sementara laman rasmi Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tandek menyebutkan PPM Suzie Salapan yang juga Ketua Wirawati Warisan Kota Marudu mengalu-alukan penyertaan Anita ke dalam Warisan dan bersedia memberikan kerjasama dalam meneruskan pelaksanaan pembangunan di kawasan ini.

Anita pada Rabu mengumumkan penyertaannya ke dalam Warisan di hadapan Shafie bersama 50 ahli skuadnya.

Turut menyatakan sokongan ke atas penyertaan Anita dalam Warisan ialah Jack Umbaring dari Kg Patiu dengan mengatakan pihaknya selesa menyokong wakil rakyat kerajaan.

  • oleh
  • Advertisement